Selasa, 24 Mei 2011

KENALI TEKSTIL TRADISI SABAH

Kain tradisi Rungus yang digayakan oleh pasangan kaum tersebut
Dengan gelaran “Negeri di Bawah Bayu”, Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semula jadi tetapi kaya dengan warisan budaya penduduknya. Kumpulan etnik yang utama di Sabah terdiri daripada Kadazan Dusun, Bajau, Irranun, Rungus dan Murut yang tinggal di kawasan pedalaman dan pantai barat. Keunikan budaya etnik ini sedikit sebanyak mempengaruhi ekonomi masyarakat di negeri ini. Antara yang dapat diperhatikan ialah melalui penghasilan kraftangan. Kraftangan yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri seni yang melambangkan identiti etnik berkenaan. Ruang pertama ini mari kita kenali produk tekstil yang unik oleh suku kaum Rungus, dimana keunikan kain ini memiliki corak / motif yang banyak sebagai ragam hias dalam kain tersebut. Kain tersebut adalah Kain Tenunan Rungus.

SEJARAH TENUNAN RUNGUS

Tenunan Rungus dikenali sebagai magavol yang memaparkan ketinggian nilai tradisinya berdasarkan teknik pembuatan dan hiasan motif yang dihasilkan. Kain ini ditenun secara tradisional ini diusahakan oleh kaum Rungus yang mendiami daerah Kudat, Sabah. Tenunan Rungus menggunakan benang kapas. Proses menenun kain Rungus ini serupa dengan proses menenun kain tradisi di Sabah. Alat tenunan dipanggil kek sandang belakang (back strap loom) atau disebut ‘babaal’ dalam bahasa Rungus. Warna tradisi kain Rungus ialah hitam, merah, kuning dan putih. Warna kuning dan putih digunakan sebagai warna rekacorak dan jalur. Corak kain ini direka supaya jalur-jalur tersusun mengikut motif yang berlainan. Motif tenunan Rungus berunsurkan bentuk binatang, manusia, senjata dan tumbuh-tumbuhan.

Suku kaum Rungus terkenal dengan kebudayaan mereka yang asli dan tidak ditelan zaman. Pakaian tradisional mereka adalah hasil tenunan tangan mereka sendiri dengan menggunakan kapas yang lebih dikenali sebagai kapok oleh penduduk setempat.

Suku kaum Rungus memilih hitam sebagai warna pakaian tradisional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semulajadi pada waktu itu.

Pakaian suku Rungus kini digunakan dalam pelbagai acara
Pakaian tradisi wanita Rungus juga sarat dengan manik-manik yang direkacipta sendiri. Wanita Rungus pada zaman dahulu sentiasa memakai pakaian ini dalam kehidupan seharian seperti memasak, mengangkat air, menyulam, menenun dan lain-lain lagi. Kini ia hanya dipakai ketika majlis perkahwinan, keraian, kematian mahupun menjemput ketibaan tetamu ke rumah panjang.


 
MOTIF DOMINAN DALAM PENGHASILAN KAIN TENUNAN RUNGUS

Kain tenunan Rungus adalah penghasilan yang memerlukan kepekaan terhadap alam semulajadi yang dijadikan sebagai panduan dalam mereka cipta motif dan hasil dari kepekaan itu maka lahirlah kain yang dipenuhi dengan berbagai jenis motif sebagai ragam hias pada hasil tenunan tersebut. Kain Tinongkupan yang dihasilkan untuk membuat baju tradisi lelaki memiliki motif yang memenuhi kain tersebut dan penghasilan kain yang amat unik. Motif yang terdapat pada kain tenunan Rungus adalah:-

Benurunsi – bermotifkan siput dan kerang.
Binongkok – motif bersumberkan imej katak.
Binorokidung – motif tema jejak ular, istilah lain untuk motif ini Rinugading.
Binugang – motif menyerupai burung.
Binutuan – motif yang menyerupai jalinan kulit kayu.
Inansal – motif bersumberkan pagar.
Inompuling – motif bersumberkan serampang ikan.
Inugarang – motif menyerupai biawak atau cicak kecil.
Inumpizos – motif menyerupai ulat bulu.
Kinadamazam – motif buah kadamazam.
Kiambang Kiapu – motif bunga kayu.
Kinulit – motif bertemakan kulit pisang.
Lijawan – motif paku pakis.
Linimut – bertemakan imej kumbang.
Linopung – motif bersumberkan ular sawa.
Linopung do kisorod – motif seperti ular bersirip.
Livato – motif bersumberkan semangat atau hantu.
Miniyamban – motif bersumberkan bungkusan kuih.
Mitotorungak – motif bersumberkan kemasyarakatan iaitu kelompok.
Monsimuung – bersumberkan imej semangat atau binatang.
Pinodkimo – bermotifkan kulit tiram.
Sinikuvan – bermotifkan buku benang.
Sinopung – motif bentuk piramid.
Sinubung – motif ukiran kayu yang dicucuk dengan sesuatu benda ditengahnya.
Sinusuk rabung – motif pucuk rebung.
Tinikou Sada – motif ekor ikan.
Tiningulun – motif bersumberkan bentuk manusia.
Tinolutug – motif segi empat yang dikelilingi corak segi tiga.
Tinubou – motif bertemakan burung merak mengigal.
Tinukad – motif bersumberkan tangga.
Vinalahan – motif bunga rotan (vakau).
Vinusak – motif bunga-bunga hutan.
Vinusak Kapok – motif seperti bunga kapok.

Semoga penulisan artikel yang dibuat secara umum dan serba ringkas ini dapat memberi ruang kepada penyelidik-penyelidik lain untuk mendalami khazanah kesenian yang ada di Kepulauan Borneo, khususnya Sabah. Bertemu lagi di artikel yang lain.

Tiada ulasan: