Selasa, 28 Januari 2014

PERGINYA SEORANG PAKAR TENUN SABAH

Sulayau adalah kain hasil tenun yang sangat sinonim dengan suku kaum Murut Bookan di Sook, Keningau. Pakaian tradisi ini digunapakai semasa uparaca-upacara tradisi dan juga keramaian bagi kaum tersebut. Tahukah anda? orang yang banyak memainkan peranan untuk menghasilkan produk tersebut adalah seorang tua yang sangat kreatif dan mempunyai daya kreativiti yang tinggi dengan penghasilan motif dan reka corak yang menarik. Kebanyakan motif yang dihasilkan sangat sinonim dengan cara kehidupan dan adat resam kaum itu.

Puan Mampan Ambong adalah seorang penenun yang sangat mahir dan kemahiran beliau telah diiktiraf oleh beberapa badan kerajaan seperti pihak Muzium Sabah. Pihak Kraftangan Malaysia telah meletakkan produk tenun ini sebagai produk kraf warisan yang patut dipulihara dan diwariskan kepada generasi masa kini. Sayangnya dalam usia 80 tahun penenun gigih ini telah pergi meninggalkan kemahiran yang dimiliki untuk diwariskan kepada sanak saudara beliau. Sabah kehilangan tokoh tenun yang sangat kreatif, Namun, hasil tenunan beliau akan terus menjadi produk yang sangat berguna dan bererti dalam kehidupan suku Murut Bookan di Sabah.






Khamis, 23 Januari 2014

PROMOSI KRAF KOMPLEKS STAR CITY

Seawal tahun 2014, PKKM Sabah melalui unit pemasaran dan promosi telah mengorak langkah dengan mengadakan promosi kraf di pusat membeli belah kompleks star city, Kota Kinabalu. Promosi ini akan bermula pada 24 hingga 28 Januari 2014 dan akan disertai oleh seramai 31 orang usahawan yang mewakili bidang kraf tekstil/batik, hasil rimba, aneka kraf, logam dan lain-lain produk. Promosi akan mula dibuka kepada orang ramai bermula pada pukul 10.00 pagi sehingga pukul 10.00 malam. Acara hiburan pentas juga akan diadakan bagi menghibur para pengunjung yang berkunjung ke promosi tersebut. Datanglah beramai-ramai... anda dijemput..

Rabu, 15 Januari 2014

TAKLIMAT HARI KRAF KEBANGSAAN 2014

Seramai 30 orang usahawan kraf dari Sabah telah berkumpul untuk mendengar taklimat mengenai Hari Kraf kebangsaan 2014 yang diadakan pada 15 Januari 2014 bertempat di bilik taklimat Kraftangan Malaysia cawangan Sabah.

Terdahulu, Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Sabah mengucapkan tahniah kepada semua usahawan Sabah yang telah berusaha bersama-sama pihak cawangan dalam memperkukuhkan industri kraf di Sabah. Beliau juga memuji kesungguhan usahawan kraf Sabah yang diperlihatkan dengan penyertaan usahawan yang ramai untuk menyertai Hari Kraf kebangsaan bagi tahun ini.

Taklimat juga turut disampaikan oleh ketua Unit Pembangunan Usahawan, Unit Pemasaran dan promosi dan Unit Penyelidikan dan Pembangunan. Semasa taklimat disampaikan pihak pengurusan cawangan juga menekankan disiplin setiap usahawan dan juga memastikan nilai produk yang dibawa adalah melebihi nilai yang ditetapkan. Semua usahawan yang menyertai HKK 2014 juga diraikan dengan jamuan yang disediakan.






Isnin, 6 Januari 2014

BERTINDAK SEGERA ELAK KELEWATAN

Tarikh tutup penghantaran borang permohonan penyertaan Hari Kraf Kebangsaan 2014 (HKK 2014) ke Ibu Pejabat PKKM sudah dekat (10 Januari 2014). Kepada semua usahawan kraf Sabah yang masih belum menyerahkan atau yang belum mendapatkan borang, sila berhubung dengan Unit Pemasaran dan Promosi Encik Mohammad Mokthar atau Puan Josiliah Suti di talian 088 433461 / 423471 atau datang sendiri ke pejabat PKKM Sabah dengan kadar yang segera. Sila bertindak segera bagi mengelakkan anda terlepas peluang menyertai HKK 2014.