Khamis, 19 Disember 2013

PROMOSI KRAF PUSAT MEMBELI BELAH

Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah melalui Unit Pemasaran dan Promosi akan mengadakan Promosi Kraf di pusat membeli belah sepertimana ketetapan berikut:-
Tarikh : 24 - 28 Januari 2014 (5 hari)
Tempat : Event Hall, Ground Floor Star City Complex, Asia City, Kota Kinabalu.
Aktiviti : Jualan Produk Kraf Tempatan, Hiburan Pentas dan banyak lagi
Maklumat lanjut sila hubungi : Encik Mohammad Mokhtar / Puan Josiliah Suti di talian 088 433461 (pejabat) 088 424491 (faks)

Semua adalah dijemput.



Rabu, 18 Disember 2013

TAHUKAH ANDA???

Sebuah rumah besar berukir telah dibina di Kg. Lupak Beaufort. Rumah besar ini dibina berasaskan kayu dan dibina berdasarkan rumah tradisional melayu yang banyak dihiasi dengan ukiran. Seorang tukang yang mendapat didikan dari Kraftangan Malaysia cawangan Sabah Encik Sulin Sumar anak jati Kg. Lupak Beaufort merupakan salah seorang tenaga ukir yang telah turut sama menyiapkan rumah tersebut. Rumah tradisi melayu ini menjadi mercu kegemilangan binaan rumah melayu di kampung tersebut dan menjadi kebanggaan Sulin yang telah terlibat sebagai tenaga mahir menyiapkan rumah tersebut.






KURSUS MOTIVASI DAN TRANSFORMASI USAHAWAN KRAF DAERAH TENOM, SABAH

Sikap sentiasa bersemangat dan mengambil serius segala ilmu yang dicurahkan serta sentiasa positif dalam memperjuangkan dan memartabatkan industri kraf adalah sebagai platform untuk menikmati kejayaan dalam industri yang diceburi dan wajar bertindak sebagai peneraju dan perantis untuk generasi akan datang dalam meneruskan kesinambungan industri kraf yang berdaya saing. Demikian dinyatakan oleh Encik Mohd Shazwan Abdul Rahim ketika memberi ucapan semasa majlis penutup kursus motivasi dan transformasi usahawan kraf daerah Tenom baru-baru ini.

Kursus ini telah diadakan bermula pada 4 - 6 Disember 2013 bertempat di Hotel Perkasa Tenom. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 51 orang pengusaha kraf yang datangnya dari sekitar daerah Tenom. Semasa kursus berlangsung para pengusaha kraf telah didedahkan  dengan pelbagai ciri untuk menjadi usahawan yang berjaya. Peserta kursus juga telah dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk gerak kerja kumpulan dan hasil kerja kumpulan telah dinilai, disamping itu para peserta juga dinilai secara individu bagi memilih peserta terbaik sepanjang kursus berlangsung.

Semasa majlis penutupan kursus kumpulan 3 yang menamakan kumpulan mereka sebagai Syarikat Kraf Enterprise telah diistiharkan sebagai kumpulan terbaik, sementara itu peserta terbaik disandang oleh Encik Binantang Mangku dan Puan Elizabeth Ansikit. Bagi kata-kata motivasi terbaik telah dimenangi oleh Puan Korlin Ampat.

Gambar sepanjang kursus berlangsung.








Peserta Kursus Motivasi Dan Transformasi Usahawan Kraf 2013 - Tenom, Sabah

Selasa, 17 Disember 2013

UCAPAN TAKZIAH KE ATAS PEMERGIAN ENCIK ABDUL JAMIL OSMAN

Dengan penuh takzim, pihak pengurusan dan seluruh warga Kraftangan Malaysia cawangan Sabah mengucapkan takziah ke atas pemergian Allahyarham Abdul Jamil Bin Osman yang telah kembali kerahmatullah pada 17.12.2013. Pemergian beliau menjadi satu kehilangan besar kepada Kraftangan Malaysia. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.