Jumaat, 12 Mac 2010

Hari Kraf Kebangsaan 2010 Himpunan Kraf 1 Malaysia

Hari Kraf Kebangsaan 2010 yang berkonsepkan himpunan produk kraf Malaysia pelbagai kaum dan budaya dari seluruh Malaysia selaras dengan gagasan 1 Malaysia. Produk-produk kraf dengan rekaan baru telah dipamerkan dan dijual kepada umum sepanjang HKK 2010 berlangsung. Bersesuaian dengan dengan saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang menjadikan tahun 2010 sebagai tahun kreatif dan inovatif. Maka pihak PKKM telah mengambil pendekatan dimana pelaksanaan HKK 2010 bertemakan Kraf Kreatif dan Inovatif yang diyakini akan membawa produk kraf Malaysia ke tahap yang lebih gemilang.
Usahawan-usahawan kraf dari Negeri Dibawah Bayu Sabah juga tidak ketinggalan untuk menjayakan Festival Kraf HKK 2010 yang bermula dari 24 Februari 2010 hingga 8 Mac 2010. Seramai 21 orang usahawan kraf telah mengikuti Festival Kraf kali ini. Pecahan bidang kraf yang mewakili negeri Sabah terdiri daripada 2 orang usahawan untuk bidang tekstil tenun dan batik, 11 orang untuk produk kraf hasil rimba, 4 orang daripada produk logam dan 4 orang untuk produk aksesori aneka kraf. Sepanjang Festival Kraf berlangsung produk-produk kraf Sabah juga telah menarik perhatian pengunjung selain daripada produk-produk kraf dari negeri-negeri lain.

Gambar-gambar sepanjang Festival Kraf HKK 2010.













Majlis taklimat kepada semua usahawan kraf yang menyertai Festival Kraf Hari Kraf Kebangsaan 2010






















Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2010 oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Rosmah Mansor Isteri Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia


Lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia semasa Festival Kraf HKK 2010 berlangsung



Produk kraf kreatif dan inovatif dari Sabah gabungan ribu-ribu dan seramik menarik minat mantan Perdana Menteri Malaysia



Demontrasi muzik tradisi sabah Sompoton turut diadakan sepanjang HKK 2010


Sebahagian daripada lot jualan yang menempatkan usahawan kraf dari Sabah



ANYAMAN RIBU-RIBU

Ribu-ribu atau nama saintifiknya Lygodium tergolong dalam famili paku-pakis, tumbuh menjalar di kawasan terbiar, hutan-hutan muda, kebun kelapa atau kebun getah yang tidak diusahakan lagi. Ribu-ribu jarang sekali dikenali masyarakat umum, kecuali dikalangan pencipta kraf, para penyelidik serta pakar perhutanan dan botani. Namun demikian, penggunaannya amat meluas di zaman silam terutama dalam kehidupan seharian orang-orang Melayu terutama di Kelantan dan Terengganu. Secara tradisi, anyaman ribu-ribu di Semenanjung biasanya terdapat pada terendak, bekas tembakau, serkap ikan, penahan ikan sawah serta jebak puyuh. Penutup rabung rumah Melayu di Terengganu turut menggunakan ribu-ribu biasa yang dijalin antara kepingan bilahan buluh.
Kini penggunaan ribu-ribu di Semenanjung telah mula berkurangan berbanding dengan negeri Sabah yang masih giat menjalankan warisan ini. Anyaman ribu-ribu atau dikenali dengan panggilan Rinago di sabah masih diusahakan secara turun temurun oleh suku kaum Rungus terutama di daerah Kudat. Kini kemahiran ini telah mula menular kepada kaum asli Sabah yang lain. Ribu-ribu yang biasa digunakan oleh kaum ini ialah jenis sederhana dan halus.

Cara Memproses Ribu-Ribu

Batang ribu-ribu serta akarnya dicabut. Daun-daun dan bahagian hujung (pucuk) nya dipotong. Ribu-ribu dibelah sedikit dengan pisau kepada dua atau tiga bahagian mengikut ukuran. Belahan dimulakan daripada hujung hingga ke pangkal. Seterusnya belahan dibuat dengan hanya menggunakan ibu jari. Benda tajam seperti pisau adalah tidak sesuai kerana akan menyebabkan belahan tidak seimbang, mudah putus dan rosak. Setelah belahan hampir kehujung atau pangkal, empulur akan ditarik keluar. Ribu-ribu kemudian digantung dan dijemur di tempat yang teduh hingga kering. Ribu-ribu yang terlalu kering akan mengakibatkan kulit ribu-ribu menjadi kecut dan mudah patah bila dianyam. Ia juga perlu dielakkan daripada terkena air sebelum digunakan agar ia tidak mudah bertukar kepada warna hitam.











Ribu-ribu yang telah kering seterusnya diraut dengan pisau.
Helaian ribu-ribu kemudian dijangka mengikut saiz yang dikehendaki dengan memasukkannya melalui lubang tudung tin yang ditebuk.

Alat-Alat Untuk Menganyam Ribu-Ribu

Beberapa peralatan perlu disediakan terlebih dahulu.
  • Penyucuk ais yang kecil alat yang panjangnya lebih kurang tiga inci ini digunakan untuk menjalin ribu-ribu.
  • Rotan empulur digunakan sebagai bahan lingkaran atau bingkai asas bagi menjalin ribu-ribu mengikut bentuk dikehendaki.
  • Pengetip kuku digunakan untuk memotong dan memperkemaskan lebihan ribu-ribu yang dijalin.











Proses Anyaman

Rotan empulur atau bemban diraut dengan pisau dan kemudian dibasahkan sedikit untuk melembutkannya.Ribu-ribu disimpulkan sedikit dan seterusnya dijalin pada rotan empulur. Jalinan seterusnya dibuat mengikut lingkaran rotan dengan menggunakan penyucuk ais. Sementara itu, lebihan ribu-ribu pula dipotong menggunakan pengetip kuku. Jalinan atau ikatan lilitan dibuat dengan kemas dan teliti sehinggalah barangan siap.



Kegunaan Ribu-Ribu

Secara tradisi, ribu-ribu asli digunakan tanpa sebarang pewarna. Namun demikian, ribu-ribu kini telah dicelup pewarna untuk membentuk pelbagai corak dan warna yang menarik pada barangan ribu-ribu. Kraf Rinago atau ribu-ribu pada asalnya digunakan oleh kam Rungus di Sabah sebagai bekas penyimpan bahan-bahan untuk ubat-ubatan tadisional. Melalui pengubahsuaian pelbagai bentuk, kraf ribu-ribu kini tampil dengan berwajah baru. Penggunaannya juga turut meluas, tidak lagi sekadar bekas serbaguna, bekas barang kemas atau tepak sirih tetapi juga turut dijadikan sebagai perhiasan, bekas buah, pasu bunga dan sebagainya.