Khamis, 2 Jun 2011

KENALI TEKSTIL TRADISI SABAH

SEJARAH TENUN MUGAH DAN SIAMBITAN
Tenunan Mugah dan Siambitan merupakan tenunan asli Sabah yang terkenal dari suku kaum Iranun di daerah Kota Belud, Sabah. Suku kaum Iranun merupakan etnik minoriti di Sabah dan turut dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Suku kaum ini juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Iranun, Irranun, Illanun, Ilanun, Iranon-Meranao atau Merano. Setiap nama ini mempunyai sejarah tersendiri dan sebab itulah ia sering digunakan oleh kaum lain didalam melambangkan kaum Iranun. Iranun bermaksud berkasih-kasihan, yang dimaksudkan berkasih-kasihan adalah merujuk kepada sistem sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, dilandaskan kepada sistem kerjasama dan gotong royong. Sehingga sekarang situasi atau keadaan ini dapat dilihat dikawasan penempatan kaum Iranun khususnya dikampung-kampung sekitar Kota Belud.

Suku kaum ini terkenal dengan hasil tenunan seperti Dastar, Mugah, Siambitan, Baraguru, Tapak Sila dan Ampik. Kemahiran menenun kain dastar ini dipercayai telah dipelopori daripada Kota Batu, Filipina Selatan. Dalam penghasilan kain tenunan, peralatan utama yang digunakan adalah kek sandang belakang (back strap loom) atau dipanggil Aulon dalam bahasa Iranun. Hasil kain tenunan ini biasanya digunakan sebagai pakaian tradisi suku kaum tersebut. Pakaian tradisional suku kaum Iranun diperbuat daripada kain tenun atau kain Mugah. Baju perempuan seakan-akan baju kurung Kedah manakala baju lelaki seakan-akan baju Melayu cekak musang. Lelaki memakai tubau atau tanjak (kain dastar), manakala perempuan memakai sinisip di kepala, Kain siambitan dijadikan kain samping pada pakaian tersebut dan pakaian tersebut dipakai semasa upacara kebesaran atau majlis perkahwinan.

MOTIF DOMINAN TENUNAN MUGAH DAN SIAMBITAN
Reka corak atau motif pada kain Mugah dan Siambitan melambangkan unsur-unsur kehidupan dan kebudayaan masyarakat, terutamanya suku kaum Iranun dan suku kaum Bajau di daerah Kota Belud, Sabah. Boleh dikatakan motif yang digunakan adalah diilhamkan daripada kegiatan harian suku kaum ini.

Kewujudan motif tenunan ini adalah merupakan ilham daripada nenek moyang. Pemilihan reka corak atau motif tenunan adalah mengikut kreativiti penenun dalam menghasilkan kain tenunan yang menarik. Reka corak atau motif dan ragam hias pada tenunan lahir dari imaginasi dan kreativiti generasi terdahulu dan menjadi warisan dari generasi ke generasi. Keindahan alam sekitar dan keunikan budaya hidup suku kaum etnik turut memberi inspirasi kepada penenun kain dalam menghasilkan reka corak dan ragam hias pada tenunan.
Motif-motif tersebut adalah :-
Motif Anunan – Motif diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan yang berasaskan daun sapar.
Motif Tuara – Motif ini adalah berbentuk bunga. Reka corak tuara ini merupakan motif yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan.
Motif Daun Ubi - Motif daun ubi merupakan reka corak yang diambil daripada daun ubi kayu. Motif yang diilhamkan daripada kegiatan harian suku kaum Irranun iaitu menanam ubi kayu.
Motif Kaligowan - Motif atau reka corak yang diilhamkan daripada tumbuhan iaitu daripada sejenis daun.
Motif Unsud - Motif unsud mempunyai bentuk pucuk rebung. Pemilihan bentuk pucuk rebung adalah disebabkan oleh penghidupan penenun dalam alam semulajadi. Biasanya terdapat pada kepala kain songket dastar.
Motif Tikar-tikar - Motif ini diilhamkan daripada reka bentuk tikar.
Motif Sumping Kundur - Motif yang diilhamkan daripada reka corak sejenis daun yang di panggil daun dap-dap oleh suku kaum Irranun.
Motif Pinang Apat/Pinagapat - Motif yang diilhamkan daripada sejenis buah iaitu buah pinang.
Motif Cincin Sulaiman - Motif yang diilhamkan daripada reka corak tumbuh-tumbuhan.
Motif Buah Delima - Motif ini diambil daripada reka bentuk sejenis buah iaitu buah delima.
Motif Apir - Motif ini diambil daripada reka bentuk kipas.
Motif Apir-Apir bercantum - Motif ini juga diilhamkan daripada bentuk kipas yang bercantum.
Motif Tali-Tali - Motif yang diilhamkan daripada reka bentuk tali.
Motif Lipan-lipan - Motif ini diilhamkan daripada reka bentuk haiwan yang berasaskan bentuk lipan.
Motif Linsu - Motif yang diambil daripada reka bentuk buah kayu.
Motif Kinayupu - Motif ini diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan iaitu reka bentuk yang berasaskan daun.
Motif Baklali - Motif yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan iaitu berasaskan kepada sejenis daun.
Motif Bunga Emas - Motif ini juga diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan yang berasaskan sejenis bunga.
Motif Sinugi - Motif yang diilhamkan daripada bentuk gigi manusia.
Motif Bagadat - Motif yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan iaitu reka corak yang berasaskan daun.
Motif Siku - Motif yang diilhamkan daripada bentuk siku manusia.
Bunga Berantai - Motif yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan yang berasaskan bunga.

Tiada ulasan: