Jumaat, 6 Mei 2011

MEI - BULAN PESTA KEBUDAYAAN SABAH

Bulan Mei setiap tahun merupakan bulan penuh warna-warni bagi negeri Sabah atau lebih dikenali sebagai bulan Pesta Kebudayaan Sabah. Sepanjang bulan Mei berbagai acara kebudayaan dilaksanakan diseluruh negeri Sabah. Para peminat kebudayaan, bulan Mei merupakan masa yang paling sesuai bagi anda menyelusuri pelbagai kebudayaan kaum di Sabah.

Bulan Mei ialah bulan yang paling diraikan dan dinantikan oleh masyarakat Kadazandusun dan Murut kerana perayaan Pesta menuai, atau dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai Kaamatan. Dengan tema “Pemahaman Budaya – Cara ke Hadapan” tahun ini, perayaan ini diadakan untuk menzahirkan kesyukuran kepada Bambaazon (semangat padi) atas tuaian yang lumayan. Para pengunjung boleh merasai makanan etnik tempatan seperti linongot, ambuyat, hinava dan minuman lihing (wain beras), anda juga boleh boleh menyaksikan tarian muzik tradisional atau mengambil bahagian dalam sukan tradisi seperti menyumpit, gusti tangan dan sendi jari serta melastik. Anda juga tidak boleh melepaskan peluang menyaksikan pertandingan Unduk Ngadau (ratu cantik) acara yang cukup dinantikan.

Bagi anda yang berpeluang untuk melawat Sabah pada bulan Mei, anda dialu-alukan menyertai perayaan Kaamatan di daerah-daerah berikut:-
Tarikh            Tempat
1 Mei             Tuaran (pelancaran perayaan peringkat negeri)
7 Mei             Beluran, Telupid, Semporna, Paitan dan Putatan.
8 Mei             Wilayah Persekutuan Labuan
10 Mei           Kudat
12 Mei           Kota Kinabalu, Matunggong dan Tongod.
13 Mei           Kota Kinabalu (kemuncak akhir), Pagalungan, Beaufort dan Pitas.
14 Mei           Penampang, Lahad Datu, Kemabong, Sandakan dan Kinabatangan.
15 Mei           Sook, Tenom, Kota Belud, Membakut dan Tungku.
18 Mei           Banggi, Nabawan.
19 Mei           Sipitang, Menumbuk.
21 Mei           Tambunan, Ranau, Kunak, Kota Marudu dan Papar.
22 Mei           Kuala Penyu, Keningau.
29 – 31Mei    Hongkod Koisaan, (KDCA) Penampang (kemuncak perayaan negeri)

Bulan yang penuh dengan kebudayaan ini akan diakhiri dengan finale akhir pada 30 – 31 Mei, di Hongkod Koisaan, Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang. Banyak yang boleh dilakukan seperti melawat Kampung Warisan KDCA di mana tetamu akan disambut dengan ramah mengikut cara unik tersendiri di rumah-rumah tradisi tersebut. Selain itu, barangan kraf turut dijual, Pertandingan Nyanyian Kaamatan Sugandoi diadakan dan Tamu Kaamatan yang menampilkan produk pertanian dan perindustrian. Anda juga boleh menyaksikan acara kemuncak perayaan tahunan ini iaitu pertabalan Unduk Ngadau, Ratu Cantik Kaamatan Negeri. Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan biasa tetapi merupakan untuk mencari pemenang untuk mewakili kemuliaan Huminodun, Ratu Kadazandusun yang penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan, simbol mutlak kesempurnaan dan kesucian Huminodun.

Selain dari pesta Kaamatan, anda juga disajikan dengan pelbagai perayaan kebudayaan yang lain seperti Pesta Sabah 2011 yang disambut pada 30 April hingga 1 Mei, pesta yang memaparkan kisah “Papakang – Pengembaraan Tujuh Adik-Beradik Lelaki” mengenai misi sukar dan berani Aki Lintobon untuk menyatukan adik-beradiknya yang telah lama hilang di seluruh negeri Sabah. Anda pasti terpukau dengan ritual kuno dan tarian tradisional yang jarang dilihat seperti Dindang Dusun Ranau, Sumarikayau oleh orang sungai di Pitas, Manaradan daripada kaum Rungus di Kudat, Pokudinding oleh Dusun Tindal Kota Belud, Pengalai Dayang oleh kaum Suluk di Sandakan dan Gabilok oleh dusun subpan di Lahad Datu. Selain dari itu anda juga boleh melihat lebih dekat bagaimana pakar seni tempatan membuat kraftangan tradisional atau menjamu selera dengan juadah asli tempatan.

Pesta Bengkoka pula akan diadakan pada 13 – 15 Mei di Dataran Bengkoka di Pitas. Pesta ini akan mengetengahkan daerah Pitas sebagai tarikan menerusi peraduan Tagunggu (muzik tradisional), perlumbaan perahu Bagong yang unik dan juga menampilkan tarian, lagu dan cerita rakyat dari enam kumpulan etnik di daerah ini. Disamping itu anda juga boleh melawat rumah-rumah kebudayaan kumpulan ini dan merasai juadah tradisional mereka.

Pihak Muzium negeri Sabah juga mengambil peranan penting dalam bulan kebudayaan ini dengan program Crafts Exotica yang menonjolkan kepelbagaian budaya kraftangan etnik di Sabah yang boleh menjadi salah satu produk pelancongan di Sabah. Program Crafts Exotica diadakan bermula pada 2 Mei dan berakhir pada 27 Mei. Banyak aktiviti yang akan dipertontonkan kepada pengunjung seperti pertunjukan kraftangan dan hasil seni tangan daripada pelbagai etnik Sabah. Selain itu, anda juga berpeluang menyaksikan dan menyertai pelbagai permainan tradisi yang diadakan pada setiap hujung minggu, sambil menyaksikan persembahan kebudayaan dari kumpulan etnik yang terpilih.

Anda yang berminat atau ingin mendalami pengetahuan anda dengan kebudayaan pelbagai etnik di Sabah. Peluang ini terbuka kepada anda untuk berkunjung ke Sabah sepanjang bulan kebudayaan ini iaitu bulan Mei bulan kebudayaan Sabah. Silalah berkunjung anda dialu-alukan untuk turut sama merasai bahang pesta kebudayaan ini.

Tiada ulasan: