Khamis, 19 Disember 2013

PROMOSI KRAF PUSAT MEMBELI BELAH

Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah melalui Unit Pemasaran dan Promosi akan mengadakan Promosi Kraf di pusat membeli belah sepertimana ketetapan berikut:-
Tarikh : 24 - 28 Januari 2014 (5 hari)
Tempat : Event Hall, Ground Floor Star City Complex, Asia City, Kota Kinabalu.
Aktiviti : Jualan Produk Kraf Tempatan, Hiburan Pentas dan banyak lagi
Maklumat lanjut sila hubungi : Encik Mohammad Mokhtar / Puan Josiliah Suti di talian 088 433461 (pejabat) 088 424491 (faks)

Semua adalah dijemput.



Rabu, 18 Disember 2013

TAHUKAH ANDA???

Sebuah rumah besar berukir telah dibina di Kg. Lupak Beaufort. Rumah besar ini dibina berasaskan kayu dan dibina berdasarkan rumah tradisional melayu yang banyak dihiasi dengan ukiran. Seorang tukang yang mendapat didikan dari Kraftangan Malaysia cawangan Sabah Encik Sulin Sumar anak jati Kg. Lupak Beaufort merupakan salah seorang tenaga ukir yang telah turut sama menyiapkan rumah tersebut. Rumah tradisi melayu ini menjadi mercu kegemilangan binaan rumah melayu di kampung tersebut dan menjadi kebanggaan Sulin yang telah terlibat sebagai tenaga mahir menyiapkan rumah tersebut.






KURSUS MOTIVASI DAN TRANSFORMASI USAHAWAN KRAF DAERAH TENOM, SABAH

Sikap sentiasa bersemangat dan mengambil serius segala ilmu yang dicurahkan serta sentiasa positif dalam memperjuangkan dan memartabatkan industri kraf adalah sebagai platform untuk menikmati kejayaan dalam industri yang diceburi dan wajar bertindak sebagai peneraju dan perantis untuk generasi akan datang dalam meneruskan kesinambungan industri kraf yang berdaya saing. Demikian dinyatakan oleh Encik Mohd Shazwan Abdul Rahim ketika memberi ucapan semasa majlis penutup kursus motivasi dan transformasi usahawan kraf daerah Tenom baru-baru ini.

Kursus ini telah diadakan bermula pada 4 - 6 Disember 2013 bertempat di Hotel Perkasa Tenom. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 51 orang pengusaha kraf yang datangnya dari sekitar daerah Tenom. Semasa kursus berlangsung para pengusaha kraf telah didedahkan  dengan pelbagai ciri untuk menjadi usahawan yang berjaya. Peserta kursus juga telah dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk gerak kerja kumpulan dan hasil kerja kumpulan telah dinilai, disamping itu para peserta juga dinilai secara individu bagi memilih peserta terbaik sepanjang kursus berlangsung.

Semasa majlis penutupan kursus kumpulan 3 yang menamakan kumpulan mereka sebagai Syarikat Kraf Enterprise telah diistiharkan sebagai kumpulan terbaik, sementara itu peserta terbaik disandang oleh Encik Binantang Mangku dan Puan Elizabeth Ansikit. Bagi kata-kata motivasi terbaik telah dimenangi oleh Puan Korlin Ampat.

Gambar sepanjang kursus berlangsung.








Peserta Kursus Motivasi Dan Transformasi Usahawan Kraf 2013 - Tenom, Sabah

Selasa, 17 Disember 2013

UCAPAN TAKZIAH KE ATAS PEMERGIAN ENCIK ABDUL JAMIL OSMAN

Dengan penuh takzim, pihak pengurusan dan seluruh warga Kraftangan Malaysia cawangan Sabah mengucapkan takziah ke atas pemergian Allahyarham Abdul Jamil Bin Osman yang telah kembali kerahmatullah pada 17.12.2013. Pemergian beliau menjadi satu kehilangan besar kepada Kraftangan Malaysia. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah.

Jumaat, 29 November 2013

SAMBUTAN HARI JADI ANGGOTA KERJA

Sambutan hari jadi bagi anggota Kraftangan Malaysia cawangan Sabah telah diadakan pada 30 November 2013, seramai 5 orang anggota kerja cawangan telah dirai dalam sambutan ini. Sambutan ini diselaraskan sepenuhnya oleh Cik Jualiana Salleh dan Cik Maglene Sinun termasuk menyediakan makan minum untuk semua anggota kerja cawangan. Pengurusan cawangan mengalu-alukan majlis seumpama ini sebab dipercayai boleh mengeratkan silaturahim di kalangan semua anggota kerja cawangan.

Gambar kenangan sambutan hari jadi anggota kerja.






Menikmati makanan (candid camera)




WARGA BARU PKKM SABAH

PKKM Sabah telah menerima 2 anggota baru yang ditempatkan di Unit Pembangunan Usahawan Sabah. Diharapkan dengan pertambahan anggota baru ini boleh membantu unit dalam membangunan usahawan kraf di Sabah.

Sh. Armansah Bin Sh. Yassin adalah anak kelahiran Kg. Sebayan, Kudat merupakan graduan dari Institut Kraf Negara (IKN) dalam bidang Seni Kraf Rotan. Pada tahun 2006 beliau telah menyertai Institut Kraf Negara dengan mengambil Sijil Seni Kraf Rotan dan telah menyambung ke bidang yang sama untuk mendapatkan Diploma Seni Kraf Rotan. Semasa dan selepas menjalani latihan di IKN beliau telah mengikuti latihan industri di Rinago Handikraf Kg. Sebayan, Kudat dan juga telah terpilih menjadi tenaga pengajar/jurulatih secara sambilan di PKKM Sabah dan ditempatkan di Pusat Kraftangan Keningau, Sabah. Kini beliau mencurah bakti sebagai anggota kerja di Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah.

Seorang lagi anggota kerja baru adalah Cik Erma Raitom berasal dari Kg. Batu Lunguyan, Sook, Keningau merupakan anak kepada Usahawan Kraf Buluh/Salingkawang Puan Julitah Kulinting. Sebelum menyertai Kraftangan Malaysia Erma pernah bertugas sebagai guru sandaran pada tahun 2007. Erma memulakan persekolahan menengah di SMK Tulid, Sook Keningau dan berpindah ke SM Teknik Keningau bagi menduduki peperiksaan SPM dan mengakhiri alam persekolahan di SMK Gunsanad dengan menduduki peperiksaan STPM. Kini Erma mencurah bakti di Kraftangan Malaysia cawangan Sabah. 

Rabu, 27 November 2013

TAMU GADANG UNIVERSITI MALAYSIA SABAH 2013

Sempena konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah diadakan Tamu Gadang bermula pada 21 - 25 November 2013 bagi memeriahkan acara yang diadakan. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah juga telah dijemput untuk membuat promosi dan jualan produk kraf kepada pengunjung-pengunjung tamu gadang yang telah diadakan. Seramai 12 pengusaha kraf yang terdiri dari bidang kraf Hasil Rimba, Aneka Kraf Aksesori, Mutiara/Kristal dan Gubahan Produk Hasil Laut telah memeriahkan tamu gadang yang diadakan.





LABUAN ARTS FESTIVAL 2013 - MEDAN PERJUANGAN PENGIAT SENI

Labuan Arts Festival 2013 telah diadakan pada 15 - 17 November 2013 bertempat di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan. Festival ini merupakan acara tahunan bagi WP Labuan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia WP Labuan. Festival ini juga merupakan julungkalinya Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah dijemput dan menyertai dengan mengadakan Promosi Jualan Kraf.
Sepanjang promosi ini berlangsung Pengarah PKKM Cawangan Sabah, Encik Abdul Rahman Omar telah turun padang untuk menyaksikan sendiri pada usahawan kraf Sabah memasarkan produk kraf mereka. Sepanjang lawatan Pengarah cawangan Sabah terdapat juga usahawan kraf baru dari Labuan sendiri yang sempat ditemui dan didaftarkan sebagai usahawan kraf di bawah seliaan Kraftangan malaysia cawangan Sabah. 

Festival ini telah ditutup dengan rasminya oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Labuan Tuan Rozman Datuk Hj. Isli yang disaksikan oleh ribuan masyarakat Labuan. Festival ini telah berjaya dilaksanakan dan telah mengubah suasana apabila buat pertama kalinya PKKM Cawangan Sabah membuat persembahan produk kraf dari pelbagai bidang seperti Hasil Rimba, Aneka kraf Aksesori Wanita, Produk Bunga Kristal, Hasil Logam dan Produk Gubahan Hidupan Laut di khemah yang disediakan kepada pihak Kraftangan Malaysia Sabah.

Gambar-gambar sekitar Labuan Arts Festival 2013.

Gambar produk dan usahawan baru WP Labuan







Promosi Jualan Kraf Usahawan Sabah





Isnin, 11 November 2013

LAWATAN RASMI UNIT USAHAWAN KRAF

Unit Pembangunan Usahawan yang diterajui oleh Encik Shazwan Abdul Rahim telah mengambil kesempatan dengan membuat lawatan ke beberapa tempat pengusaha kraf di daerah Keningau bagi melihat dan mengenal pasti masalah, keperluan dan keadaan ruang kerja para pengusaha berkenaan.

Lawatan pertama dibuat di Kg. Penagatan, Keningau dengan melawat pengusaha logam parang berukir yang diusahakan oleh Encik Sapini. Beliau mempunyai rangkaian pengusaha yang ramai dan aktif, semasa lawatan terdapat juga pengusaha anyaman yang aktif di kampung tersebut. 
Perjalanan diteruskan dengan menyelusuri jalan raya yang baru siap dibina menuju ke Terus Madi. Perjalanan berhenti di destinasi yang dilawati iaitu kg. Batu Lunguyan Sook, Keningau.
Pengusaha gigih dan mempunyai rangkaian pengusaha yang aktif jelas boleh dilihat dengan hasil produk dan aktiviti yang dilakukan iaitu menganyam dan memproses bahan bagi memenuhi tuntutan tempahan yang diterima.

Lawatan berakhir di kg. Sinulihan Baru Sook, Keningau. Pelawat dibawa ke rumah pengusaha dan sempat melawat bengkel dimana pengusaha tersebut membuat kerja-kerja menghasilkan produk kraf. Pengusaha ini gigih walau pun membuat kerja-kerja penghasilan produk dalam segala kekurangan. Beliau pernah memohon kemudahan bengkel dari pihak agensi yang bertanggungjawab tetapi kemudahan yang diberikan telah digunakan untuk aktiviti lain dan ruang yang diperuntukkan kepada beliau dan rakan sekerja beliau hanya seluas 4'x10'. Keluasan seperti itu hampir mematahkan semangat mereka utk mengeluarkan produk kraf tetapi kerana sikap yang positif. Mereka tidak berputus asa, walaupun hanya membuat produk kraf dibawah rumah masing-masing.
Pengusaha kraf dikampung ini mencecah seramai 40 orang tetapi mengusahakan pengeluaran produk kraf secara sendirian dibawah rumah mereka dengan kekurangan dan kemudahan yang sangat minima, disitulah mereka duduk mengalirkan keringat, demi menghasilkan produk kraf dan sebagai punca pencarian nafkah keluarga. Mereka ini wajar menikmati kemudahan yang dibawa oleh pihak kerajaan dalam merealisasikan konsep gagasan 1Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Lawatan di Kg. Penagatan Laut, Keningau Pengusaha Kraf Logam - Parang




Lawatan ke Kg. Batu Lunguyan, pengusaha produk Buluh




Pengusaha Kg. Sinulihan Baru, Keningau - Produk Buluh