Isnin, 8 September 2014

PELUANG MENYERTAI PENGAJIAN KEMAHIRAN TENUN PAHANG DIRAJA

Para beliawanis yang berminat mendapatkan kemahiran Tenun Pahang Diraja yang terkenal di negara ini, kini berpeluang untuk mempelajari dan seterusnya mengusahakan kain tenun Pahang Diraja setelah menamatkan pengajian kelak. Kini Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam mempelawa pada beliawanis yang berumur 18 - 35 tahun dan masih bujang untuk mengikuti 2 tahun pengajian sijil kemahiran Tenun Pahang Diraja. Sepanjang tempoh pengajian para pelatih disediakan elaun sara diri, asrama, makan-minum, perpustakaan, bengkel latihan, cafeteria dan berbagai kemudahan yang lain. Para beliawanis yang berminat boleh menghubungi Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja ditalian 09 4221812 untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut.

Jumaat, 5 September 2014

SIMPOSIUM KEBANGSAAN KONSERVASI 2014



Sabah telah dipilih sebagai tempat penganjuran Simposium Kebangsaan Konservasi 2014 "Melestari Khazanah Warisan Negara" bertempat di Sutera Harbour Resort (The Pacific Sutera) Kota Kinabalu, Sabah pada 11 - 14 Ogos 2014. Simposium ini dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi tempatan dan badan-badan bukan kerajaan. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah turut terlibat sebagai agensi yang menyediakan pameran, demonstrai dan jualan produk kraf tempatan. Pihak Kraftangan Malaysia juga telah menyampaikan kertas prosiding bertajuk peranan Kraftangan Malaysia dalam memartabatkan khazanah negara, memperkasa jati diri bangsa. Kertas prosiding ini telah disampaikan oleh Encik Zainal Abidin Che' Pa, Pengarah Pemuliharaan yang mewakili Kraftangan Malaysia. Penganjuran ini telah berjaya dilaksanakan dengan jaya dan produk kraf Sabah yang dipamer dan dijual telah mendapat perhatian yang amat menggalakkan.
 


 


 


 

 
 
 

PROMOSI KRAF IDILFITRI 2014

Cerita bergambar sekitar Promosi Kraf Aidilfitri 2014 - Warna-Warni Aidilfitri di 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Selasa, 22 Julai 2014

SALAM WARNA-WARNI AIDIL FITRI 1435H


Bila ada langkah membekas lara,
Ada kata merangkai dusta,
Ada tingkah menoreh luka,
Mohon maaf zahir dan batin,
Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1435H


Daripada,
Anggota Kerja
Kraftangan Malaysia
Cawangan Sabah

Selasa, 1 Julai 2014

SALAM RAMADHAN

Pengurusan dan seluruh anggota kerja Kraftangan Malaysia cawangan Sabah mengucapkan
Salam Ramadhan kepada semua warga Kraftangan Malaysia di seluruh negara.
Selamat menunaikan ibadat puasa.
 

PROMOSI WARNA-WARNI AIDILFITRI 2014 MUNCUL LAGI



Bulan Ramadhan telah menjelang dan seluruh umat muslim dan muslimat berjuang dalam menunaikan ibadat puasa. Sepanjang bulan Ramadhan ini. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah akan terus mengambil inisiatif untuk mempromosikan produk kraf dari seluruh negara sebagai pilihan gaya hias diri atau rumah untuk sambutan Aidilfitri kelak. Promosi Kraf Warna-Warni Aidilfitri 2014 akan diadakan di pusat membeli belah 1 Borneo Hypermall Kota Kinabalu bermula pada 11 hingga 23 Julai 2014. Dibuka kepada orang ramai bermula pada pukul 10.00 pagi sehingga 10.00 malam. Beberapa aktiviti sampingan bakal diadakan sebagai pengelibatan orang ramai antaranya adalah interaktif kraf berdasarkan bidang kraf terpilih. Manakala di pentas promosi pula akan diadakan Irama Aidilfitri, pertandingan mengikat samping, pertandingan menganyam ketupat, pertandingan seni kreatif ilham aidilfitri - hiasan dan gubahan bingkisan raya dan cabutan bertuah untuk pengunjung juga akan turut diadakan. Kebanyakan aktiviti akan diadakan pada hujung minggu. Semua adalah dijemput.
 





 

BERBEKAL SEMANGAT, MINAT DAN DORONGAN MELANGKAH KAKI KE INSTITUT KRAF NEGARA


Seramai 15 orang calon pelajar Institut Kraf Negara (IKN) dari pelbagai daerah di Sabah menyahut cabaran untuk mendapatkan pendidikan khusus berkaitan dengan seni kraf negara. Berbekalkan semangat, minat dan dorongan ibu bapa, calon-calon pelajar ini bertekad meninggalkan keluarga masing-masing demi untuk menuntut dan menambahkan ilmu didada guna menyahut cabaran dunia keusahawanan kraf yang semakin berkembang. Calon-calon pelajar ini akan didedahkan dengan dunia sebenar alam seni kraf berdasarkan bidang kraf yang dipilih. Semua calon-calon pelajar IKN ini bertolak ke Kuala Lumpur pada 1 Julai 2014, ketibaan mereka akan dinantikan oleh pegawai-pegawai IKN di terminal ketibaan KLIA2 dan seterusnya akan terus dibawa ke Institut Kraf Negara di Templer Park, Rawang Selangor. Disinilah perjuangan seni sebenar bagi anak-anak watan Sabah ini mempelajari dan menimba ilmu dengan harapan akan bergelar usahawan kraf yang berjaya disuatu masa kelak. Selamat berjaya dari Pengurusan Kraftangan Malaysia cawangan Sabah.