Regatta Lepa 2011 merupakan kalender tahunan negeri Sabah dan diadakan pada 22 – 24 April 2011 di daerah Semporna. Pada tahun ini merupakan perayaan sambutan Regatta Lepa yang ke-18. Acara ini adalah acara yang gilang gemilang penuh warna-warni yang dijayakan oleh masyarakat ‘Pala'u’ Bajau Laut yang mendiami kawasan timur pesisir pantai Sabah di daerah Semporna. Jika anda berkunjung ke daerah ini untuk menyaksikan bagaimana masyarakat Bajau Laut menyambut pesta mereka, maka anda akan mula merasakan bahang pesta setibanya anda masuk ke kawasan daerah Semporna, dimana anda seolah-olah disambut dengan lambaian ‘Sambulayang’ (layar hiasan lepa yang berwarna-warni) yang mengalu-alukan ketibaan anda di daerah yang sangat sinonim dengan perahu lepa.
Pesisir pantai daerah Semporna akan dipenuhi dengan lepa yang memaparkan keunikan dan kehalusan ukiran oleh para pembuatnya, perahu lepa ini kemudiannya akan dinilai untuk dinobatkan sebagai lepa terbaik untuk tahun tersebut. Sepanjang berada dalam pesta ini, anda akan disajikan dengan pelbagai kebudayaan tradisi masyarakat Bajau Laut terutamanya tarian yang amat popular di kalangan masyarakat ini ia itu tarian ‘daling-daling’ (sejenis tarian suku kaum Bajau Laut). Anda juga boleh mencoba untuk merasai makanan tradisi mereka ‘putu’ (makanan yang dibuat dari ubi kayu) yang dimakan bersama ikan goreng atau ikan panggang. Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan hasil kraftangan terutamanya miniature perahu lepa-lepa yang dihasilkan oleh para tukang pandai yang kebanyakannya mendiami pulau Bum-Bum, Semporna. Maka, pesta ini adalah tempatnya untuk mendapatkan produk tersebut. Promosi penjualan produk kraf sepanjang pesta ini diselaraskan oleh pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah dan melibatkan para tukang pandai dalam pembuatan perahu lepa.
Kemuncak pesta ini diadakan pada malam 23 April 2011 di padang pekan Semporna, seawal pukul empat petang, masyarakat daerah ini mula berkumpul dan semasa bermulanya acara malam terdapat kira-kira 40 ribu orang membanjiri padang tersebut dan memenuhi disetiap sudut pekan Semporna untuk mendengar amanat pemimpin anak jati Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Beliau menyatakan yang pihak kerajaan akan memastikan kesenian dan kebudayaan terus menjadi teras kepada pembentukan masyarakat moden, sambil merujuk sambutan Regatta Lepa yang memaparkan karya seni dan budaya yang boleh dikomersilkan dan boleh memberi faedah kepada penduduk Semporna bagi menjana imbuhan sewajarnya yang secara langsung dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Pada malam kemuncak itu pertandingan Ratu Lepa ke-18 telah disandang oleh Nurul Hafizah Abdul Hakim dari Kg. Sulabayan. Artis Sabah Stacy menggegar pentas dengan persembahan yang bertenaga. Regatta Lepa 2011 telah ditutup dengan rasminya oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Sepanjang pesta berlangsung pengunjung pasti akan merasa puas dengan pesta kebudayaan yang unik dan menarik dan boleh diabadikan sebagai memori indah semasa berkunjung ke daerah ini. Penulis meninggalkan daerah Semporna dengan pengetahuan berguna bagi menelusuri kekayaan budaya kaum-kaum di Sabah, sepanjang perjalanan meninggalkan daerah ini nun jauh di belakang kelihatan berbalam-balam keindahan daerah Semporna seolah-olah menggamit penulis untuk mengunjunginya lagi.
Gambar-gambar Regatta Lepa, Semporna
Tiada ulasan:
Catat Ulasan