Rabu, 27 April 2011

LEPA MENGGAMIT HATI PENGUNJUNG

Regatta Lepa 2011 merupakan kalender tahunan negeri Sabah dan diadakan pada 22 – 24 April 2011 di daerah Semporna. Pada tahun ini merupakan perayaan sambutan Regatta Lepa yang ke-18. Acara ini adalah acara yang gilang gemilang penuh warna-warni yang dijayakan oleh masyarakat ‘Pala'u’ Bajau Laut yang mendiami kawasan timur pesisir pantai Sabah di daerah Semporna. Jika anda berkunjung ke daerah ini untuk menyaksikan bagaimana masyarakat Bajau Laut menyambut pesta mereka, maka anda akan mula merasakan bahang pesta setibanya anda masuk ke kawasan daerah Semporna, dimana anda seolah-olah disambut dengan lambaian ‘Sambulayang’ (layar hiasan lepa yang berwarna-warni) yang mengalu-alukan ketibaan anda di daerah yang sangat sinonim dengan perahu lepa.

Pesisir pantai daerah Semporna akan dipenuhi dengan lepa yang memaparkan keunikan dan kehalusan ukiran oleh para pembuatnya, perahu lepa ini kemudiannya akan dinilai untuk dinobatkan sebagai lepa terbaik untuk tahun tersebut. Sepanjang berada dalam pesta ini, anda akan disajikan dengan pelbagai kebudayaan tradisi masyarakat Bajau Laut terutamanya tarian yang amat popular di kalangan masyarakat ini ia itu tarian ‘daling-daling’ (sejenis tarian suku kaum Bajau Laut). Anda juga boleh mencoba untuk merasai makanan tradisi mereka ‘putu’ (makanan yang dibuat dari ubi kayu) yang dimakan bersama ikan goreng atau ikan panggang. Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan hasil kraftangan terutamanya miniature perahu lepa-lepa yang dihasilkan oleh para tukang pandai yang kebanyakannya mendiami pulau Bum-Bum, Semporna. Maka, pesta ini adalah tempatnya untuk mendapatkan produk tersebut. Promosi penjualan produk kraf sepanjang pesta ini diselaraskan oleh pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah dan melibatkan para tukang pandai dalam pembuatan perahu lepa.

Kemuncak pesta ini diadakan pada malam 23 April 2011 di padang pekan Semporna, seawal pukul empat petang, masyarakat daerah ini mula berkumpul dan semasa bermulanya acara malam terdapat kira-kira 40 ribu orang membanjiri padang tersebut dan memenuhi disetiap sudut pekan Semporna untuk mendengar amanat pemimpin anak jati Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Beliau menyatakan yang pihak kerajaan akan memastikan kesenian dan kebudayaan terus menjadi teras kepada pembentukan masyarakat moden, sambil merujuk sambutan Regatta Lepa yang memaparkan karya seni dan budaya yang boleh dikomersilkan dan boleh memberi faedah kepada penduduk Semporna bagi menjana imbuhan sewajarnya yang secara langsung dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Pada malam kemuncak itu pertandingan Ratu Lepa ke-18 telah disandang oleh Nurul Hafizah Abdul Hakim dari Kg. Sulabayan. Artis Sabah Stacy menggegar pentas dengan persembahan yang bertenaga. Regatta Lepa 2011 telah ditutup dengan rasminya oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Sepanjang pesta berlangsung pengunjung pasti akan merasa puas dengan pesta kebudayaan yang unik dan menarik dan boleh diabadikan sebagai memori indah semasa berkunjung ke daerah ini. Penulis meninggalkan daerah Semporna dengan pengetahuan berguna bagi menelusuri kekayaan budaya kaum-kaum di Sabah, sepanjang perjalanan meninggalkan daerah ini nun jauh di belakang kelihatan berbalam-balam keindahan daerah Semporna seolah-olah menggamit penulis untuk mengunjunginya lagi.

Gambar-gambar Regatta Lepa, Semporna












 
Lenggok tarian yang menyambut pengunjung ke Regatta Lepa di Semporna

 Penulis tertarik dengan keunikan tenunan dastar di Semporna











Promosi jualan produk lepa mendapat sambutan ramai

PROGRAM SEPAKAT KOMUNITI 1 MALAYSIA, SIPITANG, SABAH

Program Sepakat Komuniti 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan telah diadakan pada 1 April hingga 3 April 2011 bertempat di esplanade Sipitang, Sabah. Bersempena dengan itu juga telah diadakan pertandingan akhir Pidato 1Malaysia peringkat negeri Sabah. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah telah dijemput untuk mengadakan promosi jualan kraf dan aktiviti interaktif kraf Batik Canting. Masyarakat Sipitang meminati dengan proses mencanting dan mewarnakan batik dan gerai Kraftangan Malaysia cawangan Sabah telah menjadi tumpuan ramai untuk melihat dan sekaligus belajar cara mencanting dan mewarnakan batik. YB Datuk Hj. Sapawi Hj. Ahmad ahli parlimen Sipitang juga menunjukkan minat terhadap pembuatan batik canting dan beliau turut mencoba mencanting dan mewarnakan batik.



Isnin, 18 April 2011

KALIMARAN PENJANA 1 MALAYSIA

Kalimaran penjana 1 Malaysia begitulah laungan oleh Ketua Menteri Sabah ketika merasmikan sambutan Pesta Kalimaran 2011 yang telah diadakan pada 9 April 2011 bertempat di padang pekan Tenom, dimana buat pertama kalinya sambutan diadakan di padang pekan Tenom.

Dalam keadaan padang yang becak dan hujan tidak mematahkan semangat masyarakat Tenom dan masyarakat dari luar daerah Tenom untuk berkunjung dan bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin negeri menyambut pesta yang diadakan setiap tahun itu. Banyak acara yang diadakan untuk memeriahkan sambutan pada tahun ini dan pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah juga terlibat secara langsung untuk mengadakan promosi jualan kraf, program pendidikan dan interaktif kraf dan juga mengadakan pameran produk sepanjang pesta berlangsung.

Pihak Kraftangan Malaysia telah menjemput seramai 14 usahawan kraf untuk mempamerkan dan sekali gus menjual hasil produk kraf mereka, dalam keadaan yang kurang selesa lantaran hujan dan keadaan becak tidak mematahkan semangat usahawan-usahawan kraf yang terlibat untuk memperagakan dan menjual produk masing-masing. Disamping itu program pendidikan dan interaktif kraf untuk bidang Batik Canting dan pembuatan Seramik telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat di Tenom. Produk yang dihasilkan dari bahan keladi Buntoi juga menarik minat pengunjung termasuk pelancong asing semasa program pesta Kalimaran berlangsung.

Gambar-gambar aktiviti Pesta Kalimaran 2011
Gambar Majlis Persamian Pesta Kalimaran 2011






 












Gambar promosi jualan dan aktiviti pendidikan kraf
Uacara ritual suku kaum Murut sempena Pesta Kalimaran 2011

Jumaat, 25 Mac 2011

ANGGOTA KERJA BARU

Kraftangan Malaysia cawangan Sabah telah menerima anggota kerja baru Puan Easter Karen Robert Meisin kelahiran anak jati Taginambur, Kota Belud, telah melapor diri pada 1 Mac 2011 dan ditempatkan di Unit Pentadbiran Dan Kewangan sebagai Pegawai IT Kraftangan Malaysia cawangan Sabah. Puan Karen berpendidikan BSc in Information Technology, Honours (Industrial Engineering) dari Universiti Industri Selangor (UNISEL) Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Pernah mendapat anugerah ACCP  - APTECH CERTIFIED COMPUTER PROFESSIONAL : (Specialized in OPEN SOURCE TECHNOLOGY ) memiliki pengelaman luas dalam bidang IT sebelum mencurah bakti dengan Kraftangan Malaysia cawangan Sabah dan diyakini boleh menyumbang kepakarannya demi untuk kegemilangan Kraftangan Malaysia keseluruhannya dan cawangan Sabah khususnya. Pihak Pengurusan dan semua warga Kraftangan Malaysia cawangan Sabah mengalu-alukan kehadiran Puan Karen sebagai  warga baru Kraftangan di cawangan ini. 

Isnin, 14 Mac 2011

PESTA KALIMARAN 2011

Pesta Kalimaran adalah perayaan tahunan bagi suku kaum Murut di Sabah. Perayaan yang kaya dengan kebudayaan Murut dan mewakili semua aspek kebudayaan Murut turut diadakan. Untuk mengenali lebih dalam mengenai kebudayaan Murut. Maka, Pesta Kalimaran adalah tempatnya.
Perkataan Kalimaran adalah merujuk dengan aktiviti pembuatan kraftangan Murut. Ianya merujuk dengan kata murut ralaa dan alimar. Ralaa bermaksud wanita muda dan alimar bererti gigih berkerja, minda yang kuat, ketekunan dan boleh dipercayai. Menurut cerita, ada seorang wanita muda Murut Ralaa. Dia seorang yang rajin berkerja. Tetapi abangnya yang bernama Yolomor hendak mengorbankan Ralaa untuk kebaikan masyarakat mereka. Sebelum dia dikorbankan, dia telah mengeluarkan banyak hasil kraftangan seperti Tikar, Silaung, Tikalis, Buyung, Lintoyog dan Onot dengan menggunakan bahan asas buluh, rotan dan bamban. Ralaa mengakhiri kalimarannya dengan menenun kain Sampoi dengan menggunakan benang yang dihasilkan dari akar pokok Timahan. Akhirnya Ralaa telah dikorbankan oleh Yolomor untuk mendapatkan benih bagi ladang pertaniannya.

Kerajaan negeri Sabah telah mengangkat Pesta Kalimaran sebagai perayaan peringkat negeri pada tahun 2003. Perayaan peringkat negeri yang pertama telah diadakan pada 4 – 5 April 2003. Bermula dari situ perayaan ini disambut pada bulan April setiap tahun di Pusat Kebudayaan Murut. Perayaan ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Lembaga Kebudayaan Sabah dan Persatuan murut Sabah dengan kerjasama Pejabat daerah Tenom. Untuk tahun 2011, beberapa aktiviti telah beralih venue ke padang pekan Tenom, disebabkan beberapa kerja menaiktaraf Pusat kebudayaan Murut yang sedang berjalan.

Pusat Kebudayaan Murut adalah pusat kebudayaan setempat yang terbesar untuk kaum Murut di Sabah. Ianya terletak di Kampung Pulong, Tenom. Lebih kurang 13 km dari pekan Tenom. Pembenaan pusat yang unik ini bermula pada tahun 1994 dan siap pada tahun 1996. Bangunan unik ini adalah tempat kaum Murut memanifestasikan keseluruhan aspek kebudayaan kaum Murut. Satu lagi keunikan bangunan ini adalah bahan pembenaan yang menggunakan kayu Belian (sejenis kayu keras) dan merupakan bangunan terbesar menggunakan kayu Belian yang dibangun di Borneo.

Kalimaran tahun ini sekali lagi akan menampilkan keunikan kebudayaan masyakarat Murut yang akan dipersembahkan kepada masyarakat lain di Sabah. Selain aktiviti tradisi masyarakat Murut, tidak ketinggalan Program Merakyatkan Seni : Rumah Terbuka Ansaluang 2011 akan turut diadakan dan dikendalikan oleh JKKN Sabah. Manakala, pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah pula diberi penghormatan untuk menyelaras program jualan kraf dan aktiviti interaktif / pendidikan kraf sepanjang pesta Kalimaran berlangsung. Oleh itu, kepada semua pengusaha kraf yang ingin mengikuti Promosi Jualan Produk Kraf Pesta Kalimaran 2011, boleh berhubung terus dengan pihak PKKM Sabah melalui Unit Promosi dan Pasaran untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyertaan promosi berkenaan. Jumpa anda disana... Kalimaran Penjana 1 Malaysia.

Rabu, 2 Februari 2011

HARI KRAF KEBANGSAAN 2011


Kraftangan Malaysia akan mengadakan Hari Kraf Kebangsaan buat kali ke-9 pada 23 Februari 2011 hingga 7 Mac 2011 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Hari Kraf Kebangsaan 2011 dengan tema "KRAF MENJANA EKONOMI" menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan kraf, pameran & jualan produk baru kraf, pameran warisan kraf & edukraf, pameran teknologi, perjumpaan pembeli, apresiasi kraf, demonstrasi kraf, persembahan kesenian dan permainan rakyat.

Kepada semua usahawan dan pengusaha kraf Sabah yang akan menyertai Hari Kraf Kebangsaan 2011 boleh berhubung terus dengan Encik Mohammad Mokhtar / Puan Josiliah Suti, Unit Pemasaran dan Promosi, Kraftangan Malaysia cawangan Sabah ditalian 088-433461 / 088-423471 atau faks : 088-424491 untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.

AKTIVITI KRAF MENARIK MINAT MASYARAKAT DAERAH KENINGAU

Berdasarkan kepada sejarah silam, terdapat sebuah kawasan perkampungan yang banyak ditumbuhi dengan kayu manis iaitu sejenis rempah untuk memasak. Dalam bahasa masyarakat tempatan di kawasan tersebut iaitu kaum Murut, mereka memanggilnya sebagai kayu keningau. Ketibaan orang Inggeris di kawasan tersebut menjadikan kulit kayu keningau menjadi salah satu bahan eksport mereka. Secara tidak langsung kawasan pedalaman menjadi pengeluar kulit kayu keningau yang penting pada ketika itu. Akhirnya, kawasan tersebut dipanggil Keningau sehingga mewujudkan sebuah kampung seterusnya membangun menjadi sebuah bandar yang tidak ketinggalan dengan kemajuan dan menjadi pusat pentadbiran di kawasan pedalaman Sabah.

Pada 29 Januari 2011, daerah Keningau bertempat di SMK Bingkor telah dipilih oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengadakan program merakyatkan ICT di daerah tersebut. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah juga turut serta dalam menjayakan program tersebut. Dengan mengadakan aktiviti Pendidikan Kraf Batik Canting, promosi jualan produk kraf dan pameran produk baru telah berjaya menarik minat masyarakat daerah Keningau untuk berkunjung dan mengikuti aktiviti yang diadakan oleh pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah. Produk yang dihasilkan menggunakan keladi gajah amat dikagumi dan diberi jolokan produk kraf mesra alam oleh pemimpin-pemimpin daerah tersebut yang sempat melawat ke gerai Kraftangan Malaysia cawangan Sabah.

Gambar-gambar semasa program berlangsung.










Pen. Pegawai Daerah Keningau Encik George H. Kandavu tertarik dengan produk keluaran baru yang dihasilkan dengan menggunakan bahan keladi gajah





Aktiviti jualan produk kraf dan pameran produk kraf













Aktiviti pendidikan kraf Batik Canting yang mendapat tumpuan ramai