Isnin, 14 Mac 2011

PESTA KALIMARAN 2011

Pesta Kalimaran adalah perayaan tahunan bagi suku kaum Murut di Sabah. Perayaan yang kaya dengan kebudayaan Murut dan mewakili semua aspek kebudayaan Murut turut diadakan. Untuk mengenali lebih dalam mengenai kebudayaan Murut. Maka, Pesta Kalimaran adalah tempatnya.
Perkataan Kalimaran adalah merujuk dengan aktiviti pembuatan kraftangan Murut. Ianya merujuk dengan kata murut ralaa dan alimar. Ralaa bermaksud wanita muda dan alimar bererti gigih berkerja, minda yang kuat, ketekunan dan boleh dipercayai. Menurut cerita, ada seorang wanita muda Murut Ralaa. Dia seorang yang rajin berkerja. Tetapi abangnya yang bernama Yolomor hendak mengorbankan Ralaa untuk kebaikan masyarakat mereka. Sebelum dia dikorbankan, dia telah mengeluarkan banyak hasil kraftangan seperti Tikar, Silaung, Tikalis, Buyung, Lintoyog dan Onot dengan menggunakan bahan asas buluh, rotan dan bamban. Ralaa mengakhiri kalimarannya dengan menenun kain Sampoi dengan menggunakan benang yang dihasilkan dari akar pokok Timahan. Akhirnya Ralaa telah dikorbankan oleh Yolomor untuk mendapatkan benih bagi ladang pertaniannya.

Kerajaan negeri Sabah telah mengangkat Pesta Kalimaran sebagai perayaan peringkat negeri pada tahun 2003. Perayaan peringkat negeri yang pertama telah diadakan pada 4 – 5 April 2003. Bermula dari situ perayaan ini disambut pada bulan April setiap tahun di Pusat Kebudayaan Murut. Perayaan ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Lembaga Kebudayaan Sabah dan Persatuan murut Sabah dengan kerjasama Pejabat daerah Tenom. Untuk tahun 2011, beberapa aktiviti telah beralih venue ke padang pekan Tenom, disebabkan beberapa kerja menaiktaraf Pusat kebudayaan Murut yang sedang berjalan.

Pusat Kebudayaan Murut adalah pusat kebudayaan setempat yang terbesar untuk kaum Murut di Sabah. Ianya terletak di Kampung Pulong, Tenom. Lebih kurang 13 km dari pekan Tenom. Pembenaan pusat yang unik ini bermula pada tahun 1994 dan siap pada tahun 1996. Bangunan unik ini adalah tempat kaum Murut memanifestasikan keseluruhan aspek kebudayaan kaum Murut. Satu lagi keunikan bangunan ini adalah bahan pembenaan yang menggunakan kayu Belian (sejenis kayu keras) dan merupakan bangunan terbesar menggunakan kayu Belian yang dibangun di Borneo.

Kalimaran tahun ini sekali lagi akan menampilkan keunikan kebudayaan masyakarat Murut yang akan dipersembahkan kepada masyarakat lain di Sabah. Selain aktiviti tradisi masyarakat Murut, tidak ketinggalan Program Merakyatkan Seni : Rumah Terbuka Ansaluang 2011 akan turut diadakan dan dikendalikan oleh JKKN Sabah. Manakala, pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah pula diberi penghormatan untuk menyelaras program jualan kraf dan aktiviti interaktif / pendidikan kraf sepanjang pesta Kalimaran berlangsung. Oleh itu, kepada semua pengusaha kraf yang ingin mengikuti Promosi Jualan Produk Kraf Pesta Kalimaran 2011, boleh berhubung terus dengan pihak PKKM Sabah melalui Unit Promosi dan Pasaran untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyertaan promosi berkenaan. Jumpa anda disana... Kalimaran Penjana 1 Malaysia.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Terima kasih atas perkongsian berita.. d(^^,)