Rabu, 18 Mei 2011

LAWATAN KETUA PENGARAH KE SABAH

Pada 10 Mei 2011 Yang Berbahagia Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah membuat lawatan ke Sabah bagi meninjau perkembangan pembinaan bangunan kraftangan Malaysia cawangan Sabah di Kota Belud. Lawatan Yang Berbahagia Ketua Pengarah ditemani oleh Jurutera Kanan, Kraftangan Malaysia Encik Hamdan Bin Ahmad dan sepanjang lawatan Yang Berbahagia Ketua Pengarah diiringi oleh Encik Mohd Latif Bin Dirun Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Sabah.












Taklimat perkembangan pembinaan disampaikan oleh Pengarah PKKM Sabah kepada Yang Berbahagia Ketua Pengarah

Isnin, 16 Mei 2011

SAMBUTAN BULAN BIDANG KEMANUSIAAN MERIAH

Sambutan bulan bidang kemanusiaan yang diadakan pada 13 Mei 2011 bertempat di dewan terbuka SM St. John Tuaran disambut meriah oleh seramai 200 orang pelajar yang terlibat dalam program pendidikan kraf yang dikendalikan oleh Unit Pemuliharaan, Kraftangan Malaysia cawangan Sabah. Bidang kraf yang diperkenalkan adalah Batik Canting dan Anyaman Buluh.

Bagi memenuhi permintaan pelajar yang ramai, 2 set pemidang batik telah dibentang untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk belajar cara pembuatan dan pemerosesan Batik Canting. Kedua-dua bidang yang diperkenalkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga tenaga pengajar yang mengendalikan program tersebut tidak mempunyai kesempatan untuk berehat walau sejenak, kerana pelajar-pelajar yang begitu ramai dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang kraf yang didedahkan kepada mereka. Ketua guru panitia seni amat berbangga dengan sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah dan beliau melahirkan harapan agar program seumpama ini akan terus dapat kerjasama jitu dari pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah.

Gambar aktiviti pendidikan kraf batik dan anyaman.


BATIK CANTING MENJADI KRAF TUMPUAN SEMPENA CRAFTS EXOTICA 2011

Batik Canting telah dipilih oleh pihak Muzium Negeri Sabah sebagai produk kraf yang diperkenalkan sempena sambutan Crafts Exotica 2011 yang diadakan pada 12 Mei 2011 bertempat di Kampung Warisan Muzium Sabah.

Kraftangan Malaysia cawangan Sabah melalui Unit Pemuliharaan diberi kepercayaan sepenuhnya oleh pihak Muzium Sabah untuk mengendalikan bengkel Batik Canting yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah dari daerah Kota Kinabalu dan Papar. Batik Canting buat pertama kalinya dibawa ke Muzium Sabah dan mendapat perhatian yang amat menggalakkan dari semua peserta bengkel. Bengkel sehari itu telah disempurnakan penutupannya oleh Yang Berbahagia Datuk Joseph Guntavid, Pengarah Muzium Negeri Sabah.

Gambar-gambar semasa program berlangsung.


MESYUARAT AGENSI KPKK DI SABAH

Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah telah dipilih untuk menyelaraskan mesyuarat agensi-agensi dibawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Sabah. Mesyuarat tersebut telah diadakan pada 11 Mei 2011. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah amat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan oleh pihak KPKK di Sabah bagi menyelaraskan mesyuarat tersebut. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Almain Bin Ajirul, Pengarah Penerangan Negeri Sabah dan dihadiri oleh semua ketua-ketua jabatan dan agensi dibawah KPKK di Sabah.




PESTA SABAH 2011 - ACARA PEMBUKA BULAN KEBUDAYAAN DI SABAH

Bulan kebudayaan Sabah dibuka dengan sambutan Pesta Sabah 2011 yang diadakan pada 29/4/2011 hingga 1/5/2011 bertempat di Magellan Sutera Kota Kinabalu. Pesta Sabah adalah satu pesta yang menghimpunkan para pembuat kraf di Sabah untuk memperlihatkan kemahiran dalam pembuatan kraf mengikut bidang kepakaran masing-masing. Pesta Sabah 2011 menghimpunkan seramai 20 orang usahawan kraf dan mendapat perhatian ramai yang berkunjung ke Pesta Sabah 2011.
Pihak Kraftangan Malaysia telah diberi kepercayaan untuk memilih peserta demonstrasi kraf sempena sambutan Pesta Sabah 2011 dan disamping itu turut mengadakan pameran produk baru hasil keluaran oleh Unit Penyelidikan dan Pembangunan. Sepanjang pameran berlangsung, sudut pameran Kraftangan Malaysia cawangan Sabah telah dilawat oleh TYT negeri Sabah bersama isteri dan amat tertarik dengan hasil produk tenunan songket dastar yang dipamerkan.

Selain dari demonstrasi pembuatan produk, jualan produk kraf dan pameran produk kraf. Para tetamu juga dihidangkan dengan persembahan kebudayaan KadazanDusunMurut di Sabah dengan pementasan mengenai kisah “Papakang – Pengembaraan Tujuh Adik-Beradik Lelaki” mengenai misi sukar dan berani Aki Lintobon untuk menyatukan adik-beradiknya yang telah lama hilang di seluruh negeri Sabah. Para pengunjung dan tetamu amat terhibur dengan Pesta Sabah 2011 yang diadakan.




Rabu, 11 Mei 2011

PENDIDIKAN KRAF JELAJAH MUZIUM WARISAN SANDAKAN

Puncak Kinabalu dilitupi awan
Perjalanan jauh tidak membosankan sedikit pun demi menunaikan tugas yang diamanahkan, perjalanan bermula dari Kota Kinabalu sekitar pukul 11.00am, menuju ke Sandakan menyelusuri jalan ke pantai timur akan melalui beberapa daerah seperti Tamparuli, bermula dari pekan Tamparuli perjalanan akan mula mendaki banjaran gunung dan sepanjang jalan kelihatan puncak gunung Kinabalu berbalam-balam dilitupi awan sehingga tiba di Taman Negara Kinabalu tempat bermulanya untuk pendakian ke gunung Kinabalu. Suasana dingin menyelimuti dan menyegarkan badan sehingga tiba di kawasan Kundasang, tempat yang terkenal dengan pengeluaran sayur tanah tinggi yang segar, sepanjang perjalanan kita disajikan dengan pemandangan yang indah dan memukau, akhir perjalanan kita akan sampai ke pekan Ranau untuk menikmati makan tengahari sambil merehatkan badan.
Kolam air panas Poring
Keindahan taman Sabah teh
Perjalanan dari pekan Ranau ke Sandakan akan melalui beberapa tempat-tempat yang menarik seperti kolam air panas Poring, ladang Sabah teh dan tinggalan lombong tembaga di Mamut. Perjalanan ke Sandakan akan melalui daerah Telupid dan Beluran sebelumnya melalui satu lagi tempat persinggahan yang dikenali batu 32 atau check point, tempat tumpuan persinggahan untuk perjalanan ke Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna. Destinasi akhir ke Sandakan disambut dengan replika orang utan yang menghiasi bulatan jalan ke Sandakan seolah-olah mengalu-alukan sesiapa pun yang datang ke Sandakan. Sandakan adalah Bandar yang sibuk dan pesat membangun, kami ditempatkan di Hotel Lagenda Sandakan untuk merehatkan diri sebelum memulakan tugas yang diamanahkan.
lawatanYB Datuk Ellorn

Pendidikan kraf diadakan di perkarangan Muzium Warisan Sandakan bersempena dengan pelancaran Crafts Exotica 2011, pendidikan kraf ini melibatkan pelajar-pelajar SMK Elopura, Sandakan dan pengunjung-pengunjung ke Muzium Warisan Sandakan. Batik canting sekali lagi menarik minat pelajar-pelajar dan orang ramai untuk menyertai dan menyaksikan sendiri bagaimana proses mencanting dan mewarnakan batik. YB Datuk Ellorn Afred Angin, Pembantu Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah turut sama melawat ke aktiviti pendidikan kraf yang diadakan dan memuji pihak Kraftangan Malaysia atas usaha memperkenalkan batik kepada masyarakat Sandakan terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah.

Gambar-gambar pendidikan kraf jelajah Musium Warisan Sandakan











Jelajah Pendidikan Kraf berbaloi dengan menang telefon bimbit semasa cabutan bertuah

Jumaat, 6 Mei 2011

MEI - BULAN PESTA KEBUDAYAAN SABAH

Bulan Mei setiap tahun merupakan bulan penuh warna-warni bagi negeri Sabah atau lebih dikenali sebagai bulan Pesta Kebudayaan Sabah. Sepanjang bulan Mei berbagai acara kebudayaan dilaksanakan diseluruh negeri Sabah. Para peminat kebudayaan, bulan Mei merupakan masa yang paling sesuai bagi anda menyelusuri pelbagai kebudayaan kaum di Sabah.

Bulan Mei ialah bulan yang paling diraikan dan dinantikan oleh masyarakat Kadazandusun dan Murut kerana perayaan Pesta menuai, atau dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai Kaamatan. Dengan tema “Pemahaman Budaya – Cara ke Hadapan” tahun ini, perayaan ini diadakan untuk menzahirkan kesyukuran kepada Bambaazon (semangat padi) atas tuaian yang lumayan. Para pengunjung boleh merasai makanan etnik tempatan seperti linongot, ambuyat, hinava dan minuman lihing (wain beras), anda juga boleh boleh menyaksikan tarian muzik tradisional atau mengambil bahagian dalam sukan tradisi seperti menyumpit, gusti tangan dan sendi jari serta melastik. Anda juga tidak boleh melepaskan peluang menyaksikan pertandingan Unduk Ngadau (ratu cantik) acara yang cukup dinantikan.

Bagi anda yang berpeluang untuk melawat Sabah pada bulan Mei, anda dialu-alukan menyertai perayaan Kaamatan di daerah-daerah berikut:-
Tarikh            Tempat
1 Mei             Tuaran (pelancaran perayaan peringkat negeri)
7 Mei             Beluran, Telupid, Semporna, Paitan dan Putatan.
8 Mei             Wilayah Persekutuan Labuan
10 Mei           Kudat
12 Mei           Kota Kinabalu, Matunggong dan Tongod.
13 Mei           Kota Kinabalu (kemuncak akhir), Pagalungan, Beaufort dan Pitas.
14 Mei           Penampang, Lahad Datu, Kemabong, Sandakan dan Kinabatangan.
15 Mei           Sook, Tenom, Kota Belud, Membakut dan Tungku.
18 Mei           Banggi, Nabawan.
19 Mei           Sipitang, Menumbuk.
21 Mei           Tambunan, Ranau, Kunak, Kota Marudu dan Papar.
22 Mei           Kuala Penyu, Keningau.
29 – 31Mei    Hongkod Koisaan, (KDCA) Penampang (kemuncak perayaan negeri)

Bulan yang penuh dengan kebudayaan ini akan diakhiri dengan finale akhir pada 30 – 31 Mei, di Hongkod Koisaan, Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang. Banyak yang boleh dilakukan seperti melawat Kampung Warisan KDCA di mana tetamu akan disambut dengan ramah mengikut cara unik tersendiri di rumah-rumah tradisi tersebut. Selain itu, barangan kraf turut dijual, Pertandingan Nyanyian Kaamatan Sugandoi diadakan dan Tamu Kaamatan yang menampilkan produk pertanian dan perindustrian. Anda juga boleh menyaksikan acara kemuncak perayaan tahunan ini iaitu pertabalan Unduk Ngadau, Ratu Cantik Kaamatan Negeri. Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan biasa tetapi merupakan untuk mencari pemenang untuk mewakili kemuliaan Huminodun, Ratu Kadazandusun yang penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan, simbol mutlak kesempurnaan dan kesucian Huminodun.

Selain dari pesta Kaamatan, anda juga disajikan dengan pelbagai perayaan kebudayaan yang lain seperti Pesta Sabah 2011 yang disambut pada 30 April hingga 1 Mei, pesta yang memaparkan kisah “Papakang – Pengembaraan Tujuh Adik-Beradik Lelaki” mengenai misi sukar dan berani Aki Lintobon untuk menyatukan adik-beradiknya yang telah lama hilang di seluruh negeri Sabah. Anda pasti terpukau dengan ritual kuno dan tarian tradisional yang jarang dilihat seperti Dindang Dusun Ranau, Sumarikayau oleh orang sungai di Pitas, Manaradan daripada kaum Rungus di Kudat, Pokudinding oleh Dusun Tindal Kota Belud, Pengalai Dayang oleh kaum Suluk di Sandakan dan Gabilok oleh dusun subpan di Lahad Datu. Selain dari itu anda juga boleh melihat lebih dekat bagaimana pakar seni tempatan membuat kraftangan tradisional atau menjamu selera dengan juadah asli tempatan.

Pesta Bengkoka pula akan diadakan pada 13 – 15 Mei di Dataran Bengkoka di Pitas. Pesta ini akan mengetengahkan daerah Pitas sebagai tarikan menerusi peraduan Tagunggu (muzik tradisional), perlumbaan perahu Bagong yang unik dan juga menampilkan tarian, lagu dan cerita rakyat dari enam kumpulan etnik di daerah ini. Disamping itu anda juga boleh melawat rumah-rumah kebudayaan kumpulan ini dan merasai juadah tradisional mereka.

Pihak Muzium negeri Sabah juga mengambil peranan penting dalam bulan kebudayaan ini dengan program Crafts Exotica yang menonjolkan kepelbagaian budaya kraftangan etnik di Sabah yang boleh menjadi salah satu produk pelancongan di Sabah. Program Crafts Exotica diadakan bermula pada 2 Mei dan berakhir pada 27 Mei. Banyak aktiviti yang akan dipertontonkan kepada pengunjung seperti pertunjukan kraftangan dan hasil seni tangan daripada pelbagai etnik Sabah. Selain itu, anda juga berpeluang menyaksikan dan menyertai pelbagai permainan tradisi yang diadakan pada setiap hujung minggu, sambil menyaksikan persembahan kebudayaan dari kumpulan etnik yang terpilih.

Anda yang berminat atau ingin mendalami pengetahuan anda dengan kebudayaan pelbagai etnik di Sabah. Peluang ini terbuka kepada anda untuk berkunjung ke Sabah sepanjang bulan kebudayaan ini iaitu bulan Mei bulan kebudayaan Sabah. Silalah berkunjung anda dialu-alukan untuk turut sama merasai bahang pesta kebudayaan ini.