Selasa, 4 Mac 2014

AFSAH HABAGAT DI IKTIRAF SEBAGAI TUKANG ULUNG BAGI SULAMAN PIS SABAH

Afsah Habagat adalah salah seorang tukang kraf yang mengusahakan Sulaman Pis di Sabah yang telah diiktiraf oleh pihak kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Beliau menerima pengiktirafan sebagai Tukang Ulung Kraf semasa perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2014 pada 27 Februari 2014 yang disempurnakan oleh isteri YAB Perdana Menteri Malaysia bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Hasil kerja Puan Afsah adalah penghasilan secara tradisi dengan mengekalkan  reka corak tradisi sejak turun temurun. Secara eksklusif sulaman pis ini dihasilkan oleh suku kaum Bajau Benadan di Kudat tetapi ianya dipakai oleh suku kaum Rungus di Kudat sebagai tengkolok (dastar). Karya atau reka cipta yang beliau hasilkan adalah ilham daripada hidupan laut dan beberapa jenis-jenis tumbuhan. Reka corak yang dihasilkan berasaskan hidupan laut seperti kuda laut, naga dan ikan. Corak flora dan fauna juga digunakan           untuk menghasilkan reka corak pada kain sulaman pis. Puan Afsah  masih mengekalkan pengeluaran produk mengikut kaedah tradisi yang diturunkan secara warisan.

Beliau memasarkan produk melalui orang tengah dan memasarkan terus kepada orang ramai atau agensi jabatan yang berkunjung ke rumah beliau. Puan Afsah pernah mengikuti pertandingan Wicitra pada tahun 1990 dengan mengemukakan produk Sulaman Pis. Beliau pernah terpilih untuk menjadi tenaga pengajar bagi pembuatan sulaman pis dan juga pernah menjadi jurudemo untuk sulaman pis yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan negeri. Hasil kerja beliau pernah mendapat liputan dan diterbitkan oleh media cetak melalui akhbar tempatan. Puan Afsah menurunkan kemahiran yang beliau miliki kepada anak beliau dan juga masyarakat setempat yang berminat untuk mengeluar dan menghasilkan produk sulaman pis. Beliau menjadi rujukan oleh  Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi kerajaan yang lain untuk kajian yang mereka lakukan. Puan Afsah sentiasa berusaha untuk mengekalkan warisan sulaman pis ini dengan menjadi pengeluar sulaman tersebut, walaupun beliau sudah berumur. Faktor pendorong bagi Puan Afsah untuk meneruskan seni warisan sulaman pis adalah untuk mempertahankan kelangsungan warisan sulaman pis suku kaum Bajau Benadan yang hampir pupus. 

Tiada ulasan: