Selasa, 18 Januari 2011

BICARA KRAF WARISAN - TEKSTIL WARISAN : SATU DIMENSI BARU DALAM PENGEKALAN TRADISI

Negeri Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan suku kaum turut mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang diamalkan. Salah satu ciri unik negeri yang dihuni oleh kira-kira 38 etnik ini adalah kemahiran dan kehalusan kerja tangan yang dihasilkan oleh penduduk di Sabah. Antara seni kemahiran tangan yang masih diusahakan di negeri ini termasuk kraf tenunan tradisional seperti tenun Dastar, Mugah, Siambitan dan tenun tradisi Rungus.
Namun demikian seni kerja tangan ini semakin terpinggir. Kesannya banyak nilai estetika seni kraf yang diwarisi dari nenek moyang terdahulu pupus begitu sahaja memandangkan semakin ramai tokoh atau golongan tua yang mengusahakan aktiviti seni kraf ini telah mula berkurangan dari sehari ke sehari.
Langkah yang diambil oleh Unit Pemuliharaan cawangan dengan mengadakan Program Bicara Kraf Warisan ini adalah bagi memenuhi keperluan pengekalan seni kraf yang mula berkurangan ini. Tema program Tekstil Warisan : Satu Dimensi Baru Dalam Pengekalan Tradisi diambil dan dibentangkan kepada peserta telah menarik minat peserta untuk terlibat dalam perbincangan, percambahan fikiran, mengkaji, memberi idea dan pandangan bagi membangun dan menggunakan tradisi dalam masyarakat dan Negara secara meluas.
Dalam program ini juga beberapa orang tokoh telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja masing-masing yang terdiri daripada Professor Madya Dr. Ismail Ibrahim dari Universiti Malaysia Sabah, Puan Patricia Regis seorang penggiat seni persembahan budaya etnik Sabah, Puan Parbiyah Bachik, Pengarah Bahagian Pemuliharaan, Kraftangan Malaysia dan Encik Juhari Azmi dari Unit Tekstil, Bhg. Rekaan, Kraftangan Malaysia.
Program Bicara Kraf Warisan ini merupakan aktiviti penutup kalender aktiviti Kraftangan Malaysia cawangan Sabah yang telah diadakan pada 22 – 24 November 2011 bertempat di Auditorium Arkib Negara Malaysia cawangan Sabah. Program bicara ini telah menghimpunkan seramai 44 orang peserta yang terdiri daripada usahawan, pengguna, pelajar, pendidik dan pengiat seni kebudayaan di Sabah.

Gambar semasa Program Bicara Kraf Berlangsung











Peserta Bicara Kraf Warisan berbincang mengikut kumpulan masing-masing.












Pembentangan kertas kerja oleh panel jemputan Bicara Kraf Warisan



Pameran dan demonstrasi kraf










Majlis Penyampaian sijil kepada peserta Bicara Kraf Warisan

Penyampaian cenderamata kepada KSU Persekutuan di Sabah oleh Pengarah PKKM Sabah

Tiada ulasan: