Selasa, 18 Januari 2011

MAJLIS PENGHARGAAN 25 TAHUN PERKHIDMATAN

Pada 17 Januari 2011 pihak pengurusan Kraftangan Malaysia telah mengadakan majlis penyampaian penghargaan 25 tahun perkhidmatan kepada 15 orang anggota kerja cawangan Sabah. Majlis penyampaian sijil dan penghargaan disempurnakan oleh Encik Latif Dirun Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Sabah. Terdahulu, dalam ucapan beliau menyatakan kekaguman terhadap komitmen para anggota kerja yang telah mencurah bakti dalam jangka waktu yang lama untuk memartabatkan industri kraftangan sehingga ke tahap sekarang ini.




(Berdiri dari kiri) - Lawrence Kintau, Rofena Anim, Alizah Abdullah, Hjh. Noraidah Ikon, Masludah Alman,Rosmag Salasa, Josiliah Suti dan Rosli Akob (Duduk dari kiri) - Mohd Yusof Johari, Rose Latiang Limbondok, Sarimah Samad, Mohd Latif Dirun (Pengarah), Junalis Mailon dan Mohd Hatta Usop

Pengarah cawangan Encik Mohd Latif Dirun menerima penghargaan perkhidmatan yang disampaikan oleh Encik Abdul Rahman Omar sambil disaksikan oleh Encik Ag. Ismail Othman dan Encik Mohammad Mokhtar






Sebahagian daripada anggota kerja cawangan yang menerima penghargaan perkhidmatan 25 tahun


Bersempena dengan majlis penghargaan 25 tahun perkhidmatan, pihak pengurusan cawangan juga meraikan persaraan seorang anggota kerja cawangan Puan Sarimah Samad yang telah menyumbang bakti selama 32 tahun. Pihak cawangan menghargai sumbangan beliau selama ini.

Puan Sarimah Samad menerima cenderamata daripada Pengarah cawangan semasa majlis persaraan beliau



Kesedihan sudah terasa akan kehilangan rakan sekerja kerana persaraan, tak tahan menitiskan air mata



FESTIVAL KESENIAN TAWAU BIMP-EAGA 2011

Festival Kesenian Tawau BIMP-EAGA 2011 telah diadakan di dua tempat berasingan di daerah Tawau iaitu di Padang Bandaran Tawau sebagai lokasi pameran dan promosi oleh agensi-agensi kerajaan serta aktiviti sukan rakyat dan perarakan oleh semua suku etnik yang menyertai festival kesenian ini. Sementara itu, dataran Majlis Perbandaran Tawau pula tempat diadakan acara-acara kebudayaan dan hiburan rakyat.
Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah turut serta dalam festival kesenian itu dengan mengadakan promosi jualan kraf, pameran kraf dan aktiviti pendidikan kraf yang melibatkan 8 buah sekolah menengah di daerah Tawau.
Memandangkan daerah Tawau mempunyai banyak suku etnik yang mendiami daerah itu telah mendorong pihak kerajaan negeri untuk mengadakan Festival Kesenian Tawau ini sebagai acara tahunan bagi daerah Tawau. Perkara ini telah dinyatakan sendiri oleh YB Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kewangan Sabah semasa ucapan perasmian Festival Kesenian Tawau yang diadakan pada 15 Januari 2011 di Padang Bandaran Tawau.
Gambar-gambar sepanjang Festival Kesenian Tawau.





Promosi jualan kraf sempena Festival Kesenian Tawau BIMP-EAGA 2011





Lawatan YB Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan ke promosi jualan kraf





Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mencuba bakat mewarnakan batik














Demonstrasi kraf sempena Festival Kesenian Tawau


TAKLIMAT HARI KRAF KEBANGSAAN

Pada 5 Januari 2011 pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah telah mengadakan taklimat penerangan kepada usahawan yang bakal menyertai Hari Kraf Kebangsaan (HKK) yang akan diadakan pada 23 Februari 2011 sehingga 7 Mac 2011 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Taklimat penerangan ini diadakan supaya semua usahawan dapat maklumat jelas apa yang dikehendaki daripada pihak usahawan. Seramai 30 usahawan yang terdiri daripada usahawan kraf hasil rimba, aksesori, logam dan tekstil telah menyertai taklimat tersebut.
 Pengarah cawangan memberikan taklimat kepada usahawan yang bakal menyertai HKK 2011


 Usahawan yang hadir dalam sesi taklimat HKK 2011

KENDURI RAKYAT - "KATA DI KOTA"

Program kenduri rakyat oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah diadakan di Kampung Air, Sandakan pada 23 Disember 2011 berjaya menghimpunkan ribuan rakyat untuk terlibat dalam program kenduri rakyat tersebut. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah juga turut serta dalam mengadakan program pameran produk dan aktiviti pendidikan kraf. Semasa lawatan oleh YB Menteri ke gerai Kraftangan Malaysia, YB Menteri tertarik dengan produk keluaran baru cawangan ia itu produk kraf yang dihasilkan daripada batang Keladi Gajah. YB Menteri menaruh harapan supaya produk baru ini dapat diketengahkan kepada masyarakat secara meluas melalui sambutan Hari Kraf kebangsaan 2011 yang akan diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur kelak.

YB Menteri telah tertarik dengan produk keluaran baru cawangan ia itu produk kraf yang dihasilkan daripada batang Keladi Gajah

Program pendidikan kraf yang diadakan semasa Program Kenduri Rakyat di Sandakan

BICARA KRAF WARISAN - TEKSTIL WARISAN : SATU DIMENSI BARU DALAM PENGEKALAN TRADISI

Negeri Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan suku kaum turut mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang diamalkan. Salah satu ciri unik negeri yang dihuni oleh kira-kira 38 etnik ini adalah kemahiran dan kehalusan kerja tangan yang dihasilkan oleh penduduk di Sabah. Antara seni kemahiran tangan yang masih diusahakan di negeri ini termasuk kraf tenunan tradisional seperti tenun Dastar, Mugah, Siambitan dan tenun tradisi Rungus.
Namun demikian seni kerja tangan ini semakin terpinggir. Kesannya banyak nilai estetika seni kraf yang diwarisi dari nenek moyang terdahulu pupus begitu sahaja memandangkan semakin ramai tokoh atau golongan tua yang mengusahakan aktiviti seni kraf ini telah mula berkurangan dari sehari ke sehari.
Langkah yang diambil oleh Unit Pemuliharaan cawangan dengan mengadakan Program Bicara Kraf Warisan ini adalah bagi memenuhi keperluan pengekalan seni kraf yang mula berkurangan ini. Tema program Tekstil Warisan : Satu Dimensi Baru Dalam Pengekalan Tradisi diambil dan dibentangkan kepada peserta telah menarik minat peserta untuk terlibat dalam perbincangan, percambahan fikiran, mengkaji, memberi idea dan pandangan bagi membangun dan menggunakan tradisi dalam masyarakat dan Negara secara meluas.
Dalam program ini juga beberapa orang tokoh telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja masing-masing yang terdiri daripada Professor Madya Dr. Ismail Ibrahim dari Universiti Malaysia Sabah, Puan Patricia Regis seorang penggiat seni persembahan budaya etnik Sabah, Puan Parbiyah Bachik, Pengarah Bahagian Pemuliharaan, Kraftangan Malaysia dan Encik Juhari Azmi dari Unit Tekstil, Bhg. Rekaan, Kraftangan Malaysia.
Program Bicara Kraf Warisan ini merupakan aktiviti penutup kalender aktiviti Kraftangan Malaysia cawangan Sabah yang telah diadakan pada 22 – 24 November 2011 bertempat di Auditorium Arkib Negara Malaysia cawangan Sabah. Program bicara ini telah menghimpunkan seramai 44 orang peserta yang terdiri daripada usahawan, pengguna, pelajar, pendidik dan pengiat seni kebudayaan di Sabah.

Gambar semasa Program Bicara Kraf Berlangsung











Peserta Bicara Kraf Warisan berbincang mengikut kumpulan masing-masing.












Pembentangan kertas kerja oleh panel jemputan Bicara Kraf Warisan



Pameran dan demonstrasi kraf










Majlis Penyampaian sijil kepada peserta Bicara Kraf Warisan

Penyampaian cenderamata kepada KSU Persekutuan di Sabah oleh Pengarah PKKM Sabah