Selasa, 30 September 2014

KARNIVAL USAHAWAN DESA PERINGKAT NEGERI SABAH

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah buat julung kalinya telah mengadakan karnival usahawan desa peringkat negeri Sabah pada 27 - 29 September 2014 bertempat di premis kementerian tersebut. Karnival tiga hari tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Radin Malleh, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah bagi mewakili YAB ketua Menteri Sabah. Pelbagai jenis produk keluaran usahawan desa telah dipamer dan dijual kepada orang ramai. Pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah juga terlibat menyediakan penyertaan para usahawan kraf yang didatangkan dari seluruh pelusuk negeri Sabah. Produk logam senjata dan muzik tempatan (gong), aksesori wanita, hasil rimba, tekstil busana tradisi Sabah, Batik dan Tenun Tradisi Sabah yang dihasilkan para usahawan kraf Sabah telah dapat menarik pengunjung untuk mengunjungi program tersebut. Pelbagai aktiviti juga turut diadakan sebagai aktiviti sokongan kepada program tersebut.
 


 
 
 
 



 

GABUNGAN MUZIK, SENI DAN SAINS

Apabila sains digabungkan dengan muzik dan seni, tercetuslah kreativiti dalam hidup. Program gabungan muzik, seni dan sains telah diadakan pada 12 - 14 September 2014 bertempat di Petrosains Playsmart Kota Kinabalu. Program ini dianjurkan oleh Petrosains Kota Kinabalu dengan kerjasama dari Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah, JKKN Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah, BSLS Sabah dan Perpustakaan negeri Sabah. Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah terlibat secara langsung dalam mendedahkan para pelajar sekolah dan para pengunjung tentang seni kraf dalam kehidupan masyarakat melalui aktiviti jualan produk kraf aksesori dan hasil rimba, demonstrasi tenun dastar Sabah dan aktiviti pendidikan dan interaktif kraf batik canting dan anyaman rotan. Program ini menarik minat para pelajar dan juga masyarakat setempat di Kota Kinabalu.

 



 

Khamis, 25 September 2014

PROMOSI KRAF MALAYSIA 2014 - 1 BORNEO HYPERMALL KEMBALI LAGI

Promosi Kraf Malaysia 2014 yang akan diadakan di 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu Sabah kini kembali lagi. Ramai usahawan dari serata tanah air akan berkampung di 1Borneo bermula pada 23 Oktober 2014 hingga 2 November 2014. Tentunya lambakan produk kraf pada masa itu akan menjadi tarikan kepada semua masyarakat di Kota Kinabalu dan juga daerah-daerah terdekat. Produk tekstil terutamanya Batik dengan rekaan baru hanya akan terdapat pada masa itu. Produk kraf dari bidang hasil rimba, aksesori wanita dan logam turut akan mencuri tumpuan orang ramai. Tentunya anda tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan produk-produk kraf tersebut, semuanya dalam harga promosi tentunya hanya di Promosi Kraf Malaysia - 1 Borneo Hypermall Kota Kinabalu. Anda juga akan dihiburkan oleh artis-artis kelahiran Sabah yang telah mencipta nama melalui program realiti Akademik Fantasia (AF) seperti Felix AF3, Ebi AF5 dan beberapa artis tempatan di Sabah. Semuanya ada... hanya di Promosi Kraf Malaysia - 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu. Realitinya bermula disini... Datanglah, semua dijemput..

Isnin, 8 September 2014

PELUANG MENYERTAI PENGAJIAN KEMAHIRAN TENUN PAHANG DIRAJA

Para beliawanis yang berminat mendapatkan kemahiran Tenun Pahang Diraja yang terkenal di negara ini, kini berpeluang untuk mempelajari dan seterusnya mengusahakan kain tenun Pahang Diraja setelah menamatkan pengajian kelak. Kini Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam mempelawa pada beliawanis yang berumur 18 - 35 tahun dan masih bujang untuk mengikuti 2 tahun pengajian sijil kemahiran Tenun Pahang Diraja. Sepanjang tempoh pengajian para pelatih disediakan elaun sara diri, asrama, makan-minum, perpustakaan, bengkel latihan, cafeteria dan berbagai kemudahan yang lain. Para beliawanis yang berminat boleh menghubungi Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja ditalian 09 4221812 untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut.

Jumaat, 5 September 2014

SIMPOSIUM KEBANGSAAN KONSERVASI 2014



Sabah telah dipilih sebagai tempat penganjuran Simposium Kebangsaan Konservasi 2014 "Melestari Khazanah Warisan Negara" bertempat di Sutera Harbour Resort (The Pacific Sutera) Kota Kinabalu, Sabah pada 11 - 14 Ogos 2014. Simposium ini dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi tempatan dan badan-badan bukan kerajaan. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah turut terlibat sebagai agensi yang menyediakan pameran, demonstrai dan jualan produk kraf tempatan. Pihak Kraftangan Malaysia juga telah menyampaikan kertas prosiding bertajuk peranan Kraftangan Malaysia dalam memartabatkan khazanah negara, memperkasa jati diri bangsa. Kertas prosiding ini telah disampaikan oleh Encik Zainal Abidin Che' Pa, Pengarah Pemuliharaan yang mewakili Kraftangan Malaysia. Penganjuran ini telah berjaya dilaksanakan dengan jaya dan produk kraf Sabah yang dipamer dan dijual telah mendapat perhatian yang amat menggalakkan.
 


 


 


 

 
 
 

PROMOSI KRAF IDILFITRI 2014

Cerita bergambar sekitar Promosi Kraf Aidilfitri 2014 - Warna-Warni Aidilfitri di 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Selasa, 22 Julai 2014

SALAM WARNA-WARNI AIDIL FITRI 1435H


Bila ada langkah membekas lara,
Ada kata merangkai dusta,
Ada tingkah menoreh luka,
Mohon maaf zahir dan batin,
Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1435H


Daripada,
Anggota Kerja
Kraftangan Malaysia
Cawangan Sabah

Selasa, 1 Julai 2014

SALAM RAMADHAN

Pengurusan dan seluruh anggota kerja Kraftangan Malaysia cawangan Sabah mengucapkan
Salam Ramadhan kepada semua warga Kraftangan Malaysia di seluruh negara.
Selamat menunaikan ibadat puasa.
 

PROMOSI WARNA-WARNI AIDILFITRI 2014 MUNCUL LAGI



Bulan Ramadhan telah menjelang dan seluruh umat muslim dan muslimat berjuang dalam menunaikan ibadat puasa. Sepanjang bulan Ramadhan ini. Pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sabah akan terus mengambil inisiatif untuk mempromosikan produk kraf dari seluruh negara sebagai pilihan gaya hias diri atau rumah untuk sambutan Aidilfitri kelak. Promosi Kraf Warna-Warni Aidilfitri 2014 akan diadakan di pusat membeli belah 1 Borneo Hypermall Kota Kinabalu bermula pada 11 hingga 23 Julai 2014. Dibuka kepada orang ramai bermula pada pukul 10.00 pagi sehingga 10.00 malam. Beberapa aktiviti sampingan bakal diadakan sebagai pengelibatan orang ramai antaranya adalah interaktif kraf berdasarkan bidang kraf terpilih. Manakala di pentas promosi pula akan diadakan Irama Aidilfitri, pertandingan mengikat samping, pertandingan menganyam ketupat, pertandingan seni kreatif ilham aidilfitri - hiasan dan gubahan bingkisan raya dan cabutan bertuah untuk pengunjung juga akan turut diadakan. Kebanyakan aktiviti akan diadakan pada hujung minggu. Semua adalah dijemput.
 





 

BERBEKAL SEMANGAT, MINAT DAN DORONGAN MELANGKAH KAKI KE INSTITUT KRAF NEGARA


Seramai 15 orang calon pelajar Institut Kraf Negara (IKN) dari pelbagai daerah di Sabah menyahut cabaran untuk mendapatkan pendidikan khusus berkaitan dengan seni kraf negara. Berbekalkan semangat, minat dan dorongan ibu bapa, calon-calon pelajar ini bertekad meninggalkan keluarga masing-masing demi untuk menuntut dan menambahkan ilmu didada guna menyahut cabaran dunia keusahawanan kraf yang semakin berkembang. Calon-calon pelajar ini akan didedahkan dengan dunia sebenar alam seni kraf berdasarkan bidang kraf yang dipilih. Semua calon-calon pelajar IKN ini bertolak ke Kuala Lumpur pada 1 Julai 2014, ketibaan mereka akan dinantikan oleh pegawai-pegawai IKN di terminal ketibaan KLIA2 dan seterusnya akan terus dibawa ke Institut Kraf Negara di Templer Park, Rawang Selangor. Disinilah perjuangan seni sebenar bagi anak-anak watan Sabah ini mempelajari dan menimba ilmu dengan harapan akan bergelar usahawan kraf yang berjaya disuatu masa kelak. Selamat berjaya dari Pengurusan Kraftangan Malaysia cawangan Sabah.