Isnin, 31 Mac 2014

PROMOSI KRAF SEMPENA PESTA KALIMARAN 2014

Kraftangan Malaysia cawangan Sabah akan mengadakan promosi dan jualan kraf bersempena dengan Pesta Kalimaran 2014 pada 11 hingga 13 April 2014 bertempat di Pusat Kebudayaan Murut, Tenom, Sabah. Seramai lebih daripada 30 orang usahawan akan berkampung di Pusat Kebudayaan Murut untuk mempromosikan produk kraf mereka. Usahawan kraf terdiri dari bidang Logam - Parang, Hasil Rimba, Aksesori dan Batik yang didatangkan dari Sabah, Sarawak dan Kelantan. Pihak Kraftangan Malaysia caw. Sabah melalui Unit Pemuliharaan Kraf juga akan turut mengadakan aktiviti Pendidikan / Interaktif Kraf yang melibatkan pengunjung dan pelajar sekolah menengah dari sekolah menengah di daerah Tenom dan daerah Keningau. Para pengunjung dan pelajar-pelajar sekolah ini akan didedahkan dengan pembuatan kraf Batik Canting dan produk anyaman yang berasaskan bahan Rotan, pelajar-pelajar ini akan diberi tunjuk ajar oleh tenaga mahir dari Kraftangan Malaysia caw. Sabah. Bagi lepasan sekolah yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni kraf. Kaunter informasi Institut Kraf Negara (IKN) turut dibuka dan perkhidmatan permohonan kemasukan ke IKN secara online juga disediakan. Promosi dan jualan kraf bersempena dengan Pesta Kalimaran 2014 ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Lukas Umbol pada 11 April 2014.

Kepada semua pengunjung silalah berkunjung ke Promosi Jualan Kraf bersempena dengan Pesta Kalimaran pada tahun ini. Produk tekstil Batik yang khusus didatangkan dari Kelantan dan pelbagai produk kraf dari usahawan kraf Sabah dan Sarawak menanti anda di sana. Semua dijemput.

MAJLIS PERSARAAN ANGGOTA KERJA

Kraftangan Malaysia cawangan Sabah telah mengadakan majlis persaraan anggota kerja dan sekali gus meraikan juga anggota kerja yang mendapat kenaikan pangkat dan lantikan baru. Majlis ini telah diadakan pada 25 Mac 2014 bertempat di Grand Borneo Hotel, 1 Borneo Kota Kinabalu. Semua anggota kerja cawangan menghadiri majlis tersebut dan majlis telah disempurnakan oleh Pengarah cawangan Encik Abd Rahman Omar. Antara anggota kerja yang di raikan adalah :-

Anggota bersara dari perkhidmatan:
1. Puan Rosmah Ag. Assim - Februari 2014
2. Puan Imbas Akong - Mac 2014
3. Encik Rosli Akob - Mei 2014

Anggota kerja yang mendapat kenaikan pangkat dan dipindahkan:
1. Encik Mohammad Mokhtar - Pegawai Ehwal Ekonomi E41 - Kekal bertugas di Sabah
2. Puan Easter Karen Robert - Pegawai Ehwal Ekonomi E 41 - Promosi Antarabangsa HQ

Anggota kerja yang mendapat lantikan baru dalam perkhidmatan:
1. Cik Izza Farazawani Zainuddin - PPEE E27 - Promosi Antarabangsa HQ
2. Encik Sh. Armanshah Sh. Yasin - Pengajar Kraf E 17 - PKKM Caw. Negeri Sembilan 

Pengurusan cawangan mengucapkan tahniah kepada semua anggota kerja yang mendapat kenaikan pangkat dan yang mendapat lantikan baru dan syabas kepada anggota kerja yang bersara atas sumbangan bakti yang cemerlang semasa berkhidmat dengan Kraftangan Malaysia.

Gambar kenangan Majlis Persaraan dan Meraikan Anggota kerja.

  


  












Selasa, 4 Mac 2014

AFSAH HABAGAT DI IKTIRAF SEBAGAI TUKANG ULUNG BAGI SULAMAN PIS SABAH

Afsah Habagat adalah salah seorang tukang kraf yang mengusahakan Sulaman Pis di Sabah yang telah diiktiraf oleh pihak kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Beliau menerima pengiktirafan sebagai Tukang Ulung Kraf semasa perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2014 pada 27 Februari 2014 yang disempurnakan oleh isteri YAB Perdana Menteri Malaysia bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Hasil kerja Puan Afsah adalah penghasilan secara tradisi dengan mengekalkan  reka corak tradisi sejak turun temurun. Secara eksklusif sulaman pis ini dihasilkan oleh suku kaum Bajau Benadan di Kudat tetapi ianya dipakai oleh suku kaum Rungus di Kudat sebagai tengkolok (dastar). Karya atau reka cipta yang beliau hasilkan adalah ilham daripada hidupan laut dan beberapa jenis-jenis tumbuhan. Reka corak yang dihasilkan berasaskan hidupan laut seperti kuda laut, naga dan ikan. Corak flora dan fauna juga digunakan           untuk menghasilkan reka corak pada kain sulaman pis. Puan Afsah  masih mengekalkan pengeluaran produk mengikut kaedah tradisi yang diturunkan secara warisan.

Beliau memasarkan produk melalui orang tengah dan memasarkan terus kepada orang ramai atau agensi jabatan yang berkunjung ke rumah beliau. Puan Afsah pernah mengikuti pertandingan Wicitra pada tahun 1990 dengan mengemukakan produk Sulaman Pis. Beliau pernah terpilih untuk menjadi tenaga pengajar bagi pembuatan sulaman pis dan juga pernah menjadi jurudemo untuk sulaman pis yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan negeri. Hasil kerja beliau pernah mendapat liputan dan diterbitkan oleh media cetak melalui akhbar tempatan. Puan Afsah menurunkan kemahiran yang beliau miliki kepada anak beliau dan juga masyarakat setempat yang berminat untuk mengeluar dan menghasilkan produk sulaman pis. Beliau menjadi rujukan oleh  Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi kerajaan yang lain untuk kajian yang mereka lakukan. Puan Afsah sentiasa berusaha untuk mengekalkan warisan sulaman pis ini dengan menjadi pengeluar sulaman tersebut, walaupun beliau sudah berumur. Faktor pendorong bagi Puan Afsah untuk meneruskan seni warisan sulaman pis adalah untuk mempertahankan kelangsungan warisan sulaman pis suku kaum Bajau Benadan yang hampir pupus.