Selasa, 7 Jun 2011

PENGENALAN MAJLIS RUMAH TERBUKA MALAYSIA : TADAU KAAMATAN 2011

Lagenda Pesta Kaamatan

Pesta Kaamatan atau di dalam bahasa kadazan "Magavau" ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum kadazandusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang kita rayakan dewasa ini telajh diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi. Beliau yang bertanggungjawab untuk mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum ialah Allahyaraham YAB Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, mantan Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Susulan dengan itu perayaan ini telah diistiharkan sebagai perayaan peringkat kebangsaan dan sambutan diadakan setiap tahun. Pada 11 Jun 2011 bertempat di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Sabah sekali lagi sambutan ini diadakan. Pelbagai jabatan dan agensi terlibat menjayakan sambutan ini dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah diberi penghormatan selaku jawatankuasa Hiasan, Keceriaan, Hadiah dan Cenderamata dalam sambutan tahun ini. Unit Penyelidikan dan Pembangunan, Kraftangan Malaysia cawangan Sabah dengan kerjasama pihak ibu pejabat akan bertanggungjawap dalam sambutan ini. Pelbagai persiapan sedang rancak dibuat bagi memeriahkan sambutan Tadau Kaamatan pada tahun ini.

Konsep sambutan tahun ini adalah Magavau, sebelum kita meneruskan cerita disebalik persiapan cawangan dalam sambutan ini, elok kita telesuri terlebih dahulu kisah disebalik Magavau yang menjadi konsep sambutan pada tahun ini.

Asal-usul Magavau

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ianya tetap membawa maksud yang sama.

Menurut cerita lisan, Kinoingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kaum Kadazandusun. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".
Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai (Tangkob) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan Penciptanya (Kinoingan) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

Dengan kisah ringkas ini diharapkan para pembaca dapat sedikit maklumat mengenai sambutan Kaamatan yang berkonsepkan Magavau pada tahun ini, keluaran akan datang kita akan melihat usaha Kraftangan Malaysia cawangan Sabah dalam persiapan menyambut perayaan ini dan seterusnya kita juga akan melihat bagaimana sambutan yang akan diadakan pada 11 Jun 2011 melalui blog cawangan Sabah ini.

Pengurusan cawangan mengucapkan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan” kepada semua rakyat Malaysia.

Jumpa lagi......

Tiada ulasan: