Selasa, 14 Jun 2011

KRAFTANGAN MALAYSIA TURUT MENJAYAKAN MAJLIS RUMAH TERBUKA MALAYSIA:TADAU KAAMATAN 2011

Majlis Rumah Terbuka Malaysia : Tadau Kaamatan 2011 telah diadakan pada 11 Jun 2011, perayaan ini disambut meriah antara pemimpin-pemimpin dan segenap lapisan masyarakat yang membanjiri padang Merdeka dimana sambutan diadakan. Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah melalui Unit Penyelidikan dan Pembangunan serta dibantu oleh pereka dari ibu pejabat diberi kepercayaan penuh untuk menghiasi pentas utama sambutan. Pihak Kraftangan Malaysia juga diberi penghormatan untuk menyediakan cenderahati untuk para kenamaan semasa berlangsungnya MTRM:Tadau Kaamatan 2011 di Sabah.

Berikut adalah kerja-kerja persiapan dan semasa acara berlangsung yang diabadikan dalam bentuk gambar.

1. Keadaan pentas utama sebelum hiasan dibuat.



2. Semasa persiapan dan keadaan pentas yang siap dihias
3. Pentas utama yang telah siap dihias
4. Persiapan cenderahati untuk tetamu kenamaan

Ketua Pengarah menerangkan mengenai cenderahati kepada YB Menteri KPKK

5. Pengelibatan Kraftangan Malaysia dalam MTRM:Tadau Kaamatan 2011
Ketua Pengarah turut menari Sumazau semasa MTRM:Tadau Kaamatan 2011


Selasa, 7 Jun 2011

MENTERA UPACARA MEMUJA SEMANGAT PADI (BAMBAZON)

Para pembaca,

Bobohizan merupakan gelaran bagi bomoh wanita utama dalam tradisi kebudayaan Kadazan-Dusun. Bobohizan memainkan peranan penting dalam perayaan Tadau Kaamatan bagi menyemah tapak tanaman bagi memastikan tanaman yang berjaya untuk tahun hadapan. Bobohizan pertama dipercayai diajar oleh jelmaan semangat Huminodun, jampi serapah yang diamalkan sehingga sekarang adalah seperti berikut:-


Mentera Bobohizan Semasa Upacara Memuja Semangat Padi (Bambazon)

Doi kada kati gangang arai
kotunguan ko do pais
otimbaar ko do sadap
odoi kososodop zou do mogiginipi
kosou ku do nokotimung kito do pamakanan do karamaian diti
Nga ino noh maan zou do mamagavau do paai diti
Do ounsikou nodi ka'ka do bambaazon
Do kosuni vagu do toun tiso do kaanu no vagu kotimung kito
om ogumu nodi do pamakanan tokou mantad do paai

Maksud mentera Bobohizan Semasa Upacara Memuja Semangat Padi (Bambazon)

aku mengambil pisau ini
untuk di jadikan persembahan
bagi menyucikan makan ini(padi)
semalam aku bermimpi
aku berjumpa dengan engkau(huminodun)dan kita telah makan bersama dalam keramaian itu sebab itu lah aku memuja semangat padi ini
supaya bersukacitalah semangat padi(bambaazon)
dan tumbuh lagi padi-padi di tahun hadapan supaya dapatlah kita berkumpul lagi dan banyaklah lagi makanan kita yang tercipta dari padi

Petikan daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

PENGENALAN MAJLIS RUMAH TERBUKA MALAYSIA : TADAU KAAMATAN 2011

Lagenda Pesta Kaamatan

Pesta Kaamatan atau di dalam bahasa kadazan "Magavau" ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum kadazandusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang kita rayakan dewasa ini telajh diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi. Beliau yang bertanggungjawab untuk mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum ialah Allahyaraham YAB Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, mantan Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Susulan dengan itu perayaan ini telah diistiharkan sebagai perayaan peringkat kebangsaan dan sambutan diadakan setiap tahun. Pada 11 Jun 2011 bertempat di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Sabah sekali lagi sambutan ini diadakan. Pelbagai jabatan dan agensi terlibat menjayakan sambutan ini dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah diberi penghormatan selaku jawatankuasa Hiasan, Keceriaan, Hadiah dan Cenderamata dalam sambutan tahun ini. Unit Penyelidikan dan Pembangunan, Kraftangan Malaysia cawangan Sabah dengan kerjasama pihak ibu pejabat akan bertanggungjawap dalam sambutan ini. Pelbagai persiapan sedang rancak dibuat bagi memeriahkan sambutan Tadau Kaamatan pada tahun ini.

Konsep sambutan tahun ini adalah Magavau, sebelum kita meneruskan cerita disebalik persiapan cawangan dalam sambutan ini, elok kita telesuri terlebih dahulu kisah disebalik Magavau yang menjadi konsep sambutan pada tahun ini.

Asal-usul Magavau

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ianya tetap membawa maksud yang sama.

Menurut cerita lisan, Kinoingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kaum Kadazandusun. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".
Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai (Tangkob) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan Penciptanya (Kinoingan) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

Dengan kisah ringkas ini diharapkan para pembaca dapat sedikit maklumat mengenai sambutan Kaamatan yang berkonsepkan Magavau pada tahun ini, keluaran akan datang kita akan melihat usaha Kraftangan Malaysia cawangan Sabah dalam persiapan menyambut perayaan ini dan seterusnya kita juga akan melihat bagaimana sambutan yang akan diadakan pada 11 Jun 2011 melalui blog cawangan Sabah ini.

Pengurusan cawangan mengucapkan “Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan” kepada semua rakyat Malaysia.

Jumpa lagi......

Khamis, 2 Jun 2011

TOKOH TENUN TRADISI SABAH

Hajjah Pandian seorang penenun yang disegani di Sabah
Nama : Pandian Bte Sulaiman
Alamat : Kg. Rampayan Laut
Jalan Kudat, W.D.T 126
89150 Kota Belud, Sabah
Tarikh Lahir : 17 April 1950
Bangsa : Irranun
Tempat Lahir : Kota Belud, Sabah
Agama : Islam
Taraf Perkahwinan : Berkahwin
Bilangan Anak : 10 orang
Tahap Pendidikan : Kelas Dewasa
Pekerjaan : Pengusaha Tenunan
Bidang Kraf Yang Diceburi : Tenunan Tradisi Sabah
Tahun Mula Bergiat Aktif : 1965

KETOKOHAN DAN KEPIMPINAN
Kemahiran Puan Pandian dalam Tenunan Tradisi Sabah telah berjaya menaikkan namanya sebagai Adiguru Kraf khusus dalam Tenunan Kain Sambitan pada tahun 2006. Perlantikan beliau sebagai tokoh Adiguru Kraf Tenunan Sambitan adalah satu pengiktirafan ke atas usaha beliau dalam mengusahakan tenunan Sambitan agar tenunan ini tidak pupus oleh arus pemodenan. Beliau aktif mengikuti bengkel, latihan, kursus dan seminar sebagai inisiatif beliau untuk menambah ilmu dan mempersiapkan diri sebagai usahawan kraf yang berilmu dan berkemampuan dalam industri kraf di Sabah. Antara bengkel, latihan, kursus dan seminar yang beliau sertai adalah:-

i.   Kursus Pendidikan Kemahiran (Tenunan) anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada tahun 2000.
ii.  Menyertai 1st Workshop For Rural Women Entrepreneurs In Sabah dalam tahun 2002 anjuran Kementerian Pertanian Dan Industri Pemakanan Sabah bersama Japan International Cooperation Agency(JICA) Japan.
iii. Dialog Usahawan Kecil Desa (DUKeD) peringkat zon Pantai Barat Selatan dalam tahun 2006 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.
iv. Program Latihan Teknologi Rekabentuk Pembungkusan, Pembangunan Jenamaan dan Undang-Undang Serta Peraturan Pelabelan 2006 anjuran Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bersama SIRIM Sabah.
v. Seminar Bengkel Pemantapan Potensi anjuran Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2007.
vi. Program Pembangunan Insan Setempat tahun 2008 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS).

DAYA KREATIVITI
Puan Pandian mencipta corak tenunan Sambitan melalui krativitinya sendiri yang diilhamkan daripada alam semulajadi. Antara motif-motif yang digunakan oleh beliau adalah motif bunga kapas, Tuara, Kelinguan, Sumping Akundur dan Unsud. Pengunaan motif-motif ini adalah berkisar kepada kehidupan masyarakat Irranun sehari-harian. Ketajaman kreativiti beliau menggunakan tumbuhan alam semulajadi sebagai corak tenunan Sambitan merupakan keunikan kerana beliau tidak pernah mendapat pendidikan secara formal.

SUMBANGAN
Puan Pandian Sulaiman memainkan peranan dalam usaha mengekalkan seni tenunan terutamanya Tenunan Sambitan dengan memberikan pengajaran kepada anak perempuannya, penduduk-penduduk setempat dan juga orang-orang luar. Selain dari itu beliau juga aktif menyertai pameran-pameran untuk memperkembangan dan menyebarluaskan kepada masyarakat luar tentang keindahan dan kehalusan seni kerja tangannya ia itu Tenunan Tradisi Sabah. Antara sumbangan beliau untuk menghidupkan tenunan tradisi sabah adalah seperti berikut:-
i.  Menghidupkan dan mempergiatkan Tenunan Tradisi Sabah melalui program dan aktiviti Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah melalui Skim Perantisan kraf warisan di Sabah untuk tahun 2007.
ii.  Menjayakan Program Sabah Fest tahun 1997, 2000, 2007, 2008 dan 2009 anjuran Lembaga Pelancongan Sabah sebagai Jurudemo tenunan tradisi Sabah untuk diperkenalkan kepada pelancong dalam dan luar Negara.
iii. Menjayakan Program Gerak Usahawan 2007 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi peringkat negeri Sabah.
iv. Menjayakan Pameran Pola-Pola dan Warna Sabah 2007 anjuran Balai Seni Lukis Sabah.
v.  Menjayakan Showcase SDSI Sabah 2009 peringkat negeri Sabah anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah.
vi. Program Crafts Exotica 2009 peringkat negeri Sabah anjuran Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah melalui Jabatan Muzium Negeri Sabah.
vii. Menjayakan ‘Malaysia Week’ sebagai jurudemo Tenunan Sambitan di Potter’s Field, London pada   tahun 2008.

PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN
Sebagai menghargai usaha Puan Pandian Sulaiman dalam memartabat dan memperkasakan Tenunan Tradisi Sabah agar terus kekal sebagai produk tenunan yang menjadi warisan Negara. Beliau telah mendapat penghargaan dan pengiktirafan pihak kerajaan dan antara penghargaan yang diterima oleh beliau adalah:-

i.    Perlantikan sebagai Tokoh Adiguru Kraf Tenunan Sambitan 2006 oleh Perbadanan Kemajuan  Kraftangan Malaysia.
ii.   Penghargaan penyertaan Hari Kraf Malaysia 2008 anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia  (PKKM) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
iii.   Pengiktirafan kerajaan Sabah melalui Sabah Tourism Award 2009. Puan Pandian Sulaiman mendapat pengiktirafan sebagai pemenang Special Recognition Award 2009.
iv.  Penghargaan kerana menyertai pameran produk-produk industri desa 2009 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Sabah.
v.  Penghargaan kerana menyertai Promosi Kraf Batik dan Tenun 2009 anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
vi.  Pengiktirafan dalam menjayakan Festival Filem Malaysia, Anugerah Bintang Lagenda tahun 2009 di Sabah.
vii. Kerana sumbangan besar beliau terhadap industri kraf yang berasaskan Tenunan Tradisi Sabah. Beliau telah mendapat sumbangan berupa bangunan Bengkel Tenunan Tradisi Sabah bernilai RM75,000.00 yang disumbangkan oleh pihak kerajaan negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

KENALI TEKSTIL TRADISI SABAH

SEJARAH TENUN MUGAH DAN SIAMBITAN
Tenunan Mugah dan Siambitan merupakan tenunan asli Sabah yang terkenal dari suku kaum Iranun di daerah Kota Belud, Sabah. Suku kaum Iranun merupakan etnik minoriti di Sabah dan turut dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Suku kaum ini juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Iranun, Irranun, Illanun, Ilanun, Iranon-Meranao atau Merano. Setiap nama ini mempunyai sejarah tersendiri dan sebab itulah ia sering digunakan oleh kaum lain didalam melambangkan kaum Iranun. Iranun bermaksud berkasih-kasihan, yang dimaksudkan berkasih-kasihan adalah merujuk kepada sistem sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, dilandaskan kepada sistem kerjasama dan gotong royong. Sehingga sekarang situasi atau keadaan ini dapat dilihat dikawasan penempatan kaum Iranun khususnya dikampung-kampung sekitar Kota Belud.

Suku kaum ini terkenal dengan hasil tenunan seperti Dastar, Mugah, Siambitan, Baraguru, Tapak Sila dan Ampik. Kemahiran menenun kain dastar ini dipercayai telah dipelopori daripada Kota Batu, Filipina Selatan. Dalam penghasilan kain tenunan, peralatan utama yang digunakan adalah kek sandang belakang (back strap loom) atau dipanggil Aulon dalam bahasa Iranun. Hasil kain tenunan ini biasanya digunakan sebagai pakaian tradisi suku kaum tersebut. Pakaian tradisional suku kaum Iranun diperbuat daripada kain tenun atau kain Mugah. Baju perempuan seakan-akan baju kurung Kedah manakala baju lelaki seakan-akan baju Melayu cekak musang. Lelaki memakai tubau atau tanjak (kain dastar), manakala perempuan memakai sinisip di kepala, Kain siambitan dijadikan kain samping pada pakaian tersebut dan pakaian tersebut dipakai semasa upacara kebesaran atau majlis perkahwinan.

MOTIF DOMINAN TENUNAN MUGAH DAN SIAMBITAN
Reka corak atau motif pada kain Mugah dan Siambitan melambangkan unsur-unsur kehidupan dan kebudayaan masyarakat, terutamanya suku kaum Iranun dan suku kaum Bajau di daerah Kota Belud, Sabah. Boleh dikatakan motif yang digunakan adalah diilhamkan daripada kegiatan harian suku kaum ini.

Kewujudan motif tenunan ini adalah merupakan ilham daripada nenek moyang. Pemilihan reka corak atau motif tenunan adalah mengikut kreativiti penenun dalam menghasilkan kain tenunan yang menarik. Reka corak atau motif dan ragam hias pada tenunan lahir dari imaginasi dan kreativiti generasi terdahulu dan menjadi warisan dari generasi ke generasi. Keindahan alam sekitar dan keunikan budaya hidup suku kaum etnik turut memberi inspirasi kepada penenun kain dalam menghasilkan reka corak dan ragam hias pada tenunan.
Motif-motif tersebut adalah :-
Motif Anunan – Motif diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan yang berasaskan daun sapar.
Motif Tuara – Motif ini adalah berbentuk bunga. Reka corak tuara ini merupakan motif yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan.
Motif Daun Ubi - Motif daun ubi merupakan reka corak yang diambil daripada daun ubi kayu. Motif yang diilhamkan daripada kegiatan harian suku kaum Irranun iaitu menanam ubi kayu.
Motif Kaligowan - Motif atau reka corak yang diilhamkan daripada tumbuhan iaitu daripada sejenis daun.
Motif Unsud - Motif unsud mempunyai bentuk pucuk rebung. Pemilihan bentuk pucuk rebung adalah disebabkan oleh penghidupan penenun dalam alam semulajadi. Biasanya terdapat pada kepala kain songket dastar.
Motif Tikar-tikar - Motif ini diilhamkan daripada reka bentuk tikar.
Motif Sumping Kundur - Motif yang diilhamkan daripada reka corak sejenis daun yang di panggil daun dap-dap oleh suku kaum Irranun.
Motif Pinang Apat/Pinagapat - Motif yang diilhamkan daripada sejenis buah iaitu buah pinang.
Motif Cincin Sulaiman - Motif yang diilhamkan daripada reka corak tumbuh-tumbuhan.
Motif Buah Delima - Motif ini diambil daripada reka bentuk sejenis buah iaitu buah delima.
Motif Apir - Motif ini diambil daripada reka bentuk kipas.
Motif Apir-Apir bercantum - Motif ini juga diilhamkan daripada bentuk kipas yang bercantum.
Motif Tali-Tali - Motif yang diilhamkan daripada reka bentuk tali.
Motif Lipan-lipan - Motif ini diilhamkan daripada reka bentuk haiwan yang berasaskan bentuk lipan.
Motif Linsu - Motif yang diambil daripada reka bentuk buah kayu.
Motif Kinayupu - Motif ini diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan iaitu reka bentuk yang berasaskan daun.
Motif Baklali - Motif yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan iaitu berasaskan kepada sejenis daun.
Motif Bunga Emas - Motif ini juga diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan yang berasaskan sejenis bunga.
Motif Sinugi - Motif yang diilhamkan daripada bentuk gigi manusia.
Motif Bagadat - Motif yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan iaitu reka corak yang berasaskan daun.
Motif Siku - Motif yang diilhamkan daripada bentuk siku manusia.
Bunga Berantai - Motif yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan yang berasaskan bunga.